Novel Cempaka Putih Untukmu (Novel Tingkatan Tiga 2012 bagi Zon Johor, Sabah dan Sarawak)


Bermula tahun 2012, novel Tingkatan Tiga akan ditukar semula. Bagi Zon Johor, Sabah dan Sarawak, novel komponen sastera ialah Cempaka Putih Untukmu. Karya daripada Puan Rohani Deraman. Setelah cikgu membaca buku novel ini, saya mendapati bahawa novel ini memang sesuai sebagai bahan bacaan Tingkatan Tiga. Bahasa yang digunakan bersahaja dan mudah difahami sesuai untuk semua pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Novel ini yang bertemakan persahabatan antara dua kaum juga selaras dengan hasrat negara kita untuk melahirkan masyarakat yang harmoni.  Perkembangan plot secara kronologi akan memudahkan pelajar memahami cerita berkenaan tetapi menarik kerana disispkan pelbagai kejutan dan saspens. Tahniah dan Syabas kepada Puan Rohani Deraman yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu untuk remaja kita.  Semoga beliau akan terus berjuang untuk menghasilkan karya yang lebih unggul dan terbilang.

Seterusnya saya akan berusaha untuk menyediakan pengetahuan komsas tentang novcl tersebut kepada pelajar Tingkatan Tiga 2012 sebagai rujukan.

Sinopsis tentang Novel Tingkatan Tiga 2011 -Cempaka Putih Untukmu

Tema dan Persoalan Novel Cempaka Putih Untukmu

Watak dan Perwatakan Novel Cempaka Putih Untukmu

Latar Novel Cempaka Putih Untukmu

Nilai dan Pengajaran Novel Cempaka Putih Untukmu

Bina Ayat Berdasarkan Kertas Ramalan Negeri 2011


Buat Ayat Berdasarkan Kertas Ramalan Negeri 2011

Perlis

i.            Cari gali                 : Syarikat Petronas sedang melakukan cari gali di perairan Sarawak kerana dipercayai kawasan  itu kaya dengan sumber gas asli.

ii.            Jati diri                  : Generasi muda perlu memiliki akhlak mulia dan jati diri supaya menjadi modal insan yang berkelas pertama.

iii.            Ruang legar           : Para pelancong sedang berehat di ruang legar hotel lima bintang itu sementara menunggu giliran mereka untuk berdaftar tentang penginapan mereka.

iv.            Ulasan selari        : Juruulas itu sedang membuat ulasan selari ketika perlawanan bola sepak itu sedang berlangsung.

v.            Ulang tayang         : Walaupun filem itu adalah ulang tayang, banyak penonton masih minat terhadap filem itu.

vi.            Temu ramah         : Wartawan itu sedang membuat temu ramah dengan menteri itu tentang isu kenaikan harga barangan.

Sarawak Zon C

i.            Baik                        : Projek itu dilakukan dengan  baik dan tidak terdapat sebarang kecacatan.

ii.            Baik-baik              : “Jagalah diri kamu dengan baik-baik ketika berada di perantauan,” pesan emak kepada saya.

iii.            Jarang                     : “Tidak elok kamu memakai baju yang jarang ke majlis rasmi,” kata Mak Jah kepada anaknya.

iv.            Jarang-jarang        :  Sejak berpindah ke Bandar, dia jarang-jarang pulang ke kampung.

v.            Suka                       : Saya tidak suka makan durian kerana  benci akan baunya .

vi.            Suka-suka             :  Mereka melakukan kerja itu sekadar suka-suka sahaja dan tidak serius.

Sarawak Zon A

i.            Daya                       :  Kaum remaja memiliki daya ingin tahu yang kuat sehingga mereka ingin mencuba sesuatu yang baru.

ii.            Daya saing            :  Malaysia perlu meningkatkan daya saing supaya dapat bertanding dengan negara maju dalam pelbagai bidang.

iii.            Ulang                      : Kita perlu sentiasa membuat ulang kaji tentang pelajaran kita supaya dapat mencapai keputusan yang cemerlang.

iv.            Ulang tahun          : Mereka sedang membuat persediaan tentang perayaan ulang tahun sekolah yang ke-100 .

v.            Ambil                     : “Tolong ambil segelas air kepada datuk,” kata emak kepada saya.

vi.            Ambil berat          : Isu tersebut perlu kita ambil berat dan tidak patut bersikap sambil lewa sahaja.

Melaka

i.            Latar                       :  Para pelajar sedang menghias latar pentas itu untuk meraikan perayaan Hari Guru.

ii.            Latar belakang     : Sebelum menerima seseorang anggota keselamatan, pihak berkuasa perlu menyiasat latar belakang mereka terlebih dahulu demi keselamatan negara.

iii.            Pusat                      :  Putrajaya kini telah menjadi pusat pentadbiran negara kita kerana segala urusan persekutuan akan dijalankan di situ.

iv.            Pusat serenti        : Kebanyakan bekas penagih dadah yang keluar dari pusat serenti telah pulih semula setelah menjalani rawatan dan latihan fizikal di situ.

v.            Jangka                    :  Jangka masa yang diperuntukkan kepada setiap pelajar untuk menghabiskan projek sains  tersebut ialah dua minggu.

vi.            Jangka hayat         : jangka hayat bagi bateri itu hanya setahun sahaja dan tidak tahan lama.

Perak

i.            Lebih kurang        : Jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak itu lebih kurang 50 rubu orang.

ii.            Baik buruk            : Sebelum bertindak, kita perlu mengkaji baik buruk kesannya supaya tidak menyesal kelak.

iii.            Tinggi rendah       : Tinggi rendah gaji pekerja syarikat kami adalah bergantung pada kelulusan dan kerajinan mereka.

iv.            Susah senang        : Setiap insan akan mengharungi susah senang dalam kehidupan

v.            Tua muda              : Kami tidak mengambil kira tua muda peserta tetapi mereka perlu memiliki fizikal yang sihat.

vi.            Maju mundur       : Maju mundur sesebuah negara bergantung pada perpaduan negara itu.

MRSM

i.            Reda                       :Setelah ribut taufan reda, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan semua mangsa dalam feri itu.

ii.            Redah                     : Hutan yang tebal itu telah kami redah setelah mengambil masa 3 hari.

iii.            Paras                      : Setelah hujan yang turun secara mencurah-curah,  air sungai telah mencapai paras yang berbahaya.

iv.            Parau                      :  Penyanyi yang tua itu bersuara parau dan kedengaran nada yang sedih.

v.            Kerat                      : Dia telah menyediakan beberapa kerat daging untuk memasak gulai.

vi.            Kelat                       : Rasanya pisang itu kelat kerana masih belum masak lagi.

Pulau Pinang

i.            Menjahit                : Ibu telah menjahit sehelai baju kurung kepada kakak sempena hari jadinya.

ii.             Menyulam           : Gadis itu telah menyulam bunga-bungaan pada kain itu.

iii.             Menganyam         : Orang tua itu menganyam tikar mengkuang itu di halaman rumahnya.

iv.             Mengait                : Kakak sedang mengait buah rambut dengan sebatang galah.

v.             Memilin               :  Pekerja memilin tali itu daripada batang pisang yang telah dikeringkan.

vi.             menyirat              : Ketika musim tengkujuh, para nelayan sedang menyirat jala.

Kelantan

i.                 Nama                  : Nama negara kita akan masyhur setelah berjaya menganjurkan pelbagai pertandingan sukan antarabangsa.

ii.                 Bernama             :  Pensyarah yang bernama Dr. Aziz Ibrahim itu memang terkenal dalam bidang bioteknologi.

iii.                 Ternama             : yang ternama dan terpopular di Indonesia itu telah mengadakan konsep di Stadium Shah  Alam.

iv.                 Menamakan       : Baginda pun menanamkan Raja Besar kepada anakanda baginda  ./  Jawatankuasa parti politik itu  hendak menamakan Datuk Kassim sebagai calon kerusi parlimen Air Keruh.

v.                 Kenamaan          : Orang kenamaan dan dif-dif terhormat di kawasan itu telah diundangkan untuk meraikan majlis itu.

vi.                 Penamaan          : Penamaan calon pilihan raya kecil akan diadakan pada hari Isnin ini.

Selangor

i.                 soal siasat          : Pihak polis telah mengadakan soal siasat terhadap seorang ahli politik yang terlibat dalam kes  rasuah.

ii.                 soal jawab          : Sesi soal jawab akan diadakan setelah forum itu supaya para penonton dapat mengetahui isu itu secara mendalam.

iii.                 temu duga          : Banyak siswazah gagal mendapat pekerjaan kerana tidak dapat berinteraksi dengan bahasa Inggeris dalam temu duga itu.

iv.                 temu bual           : Kami telah mengadakan temu bual dengan seorang pakar motivasi tentang isu membunuh diri.

v.                 lemah lembut    : Kita perlu bersikap lemah lembut ketika bertutur dengan ibu bapa.

vi.                 lemah lesu         :  Setelah bermandi peluh di sawah, dia kelihatan lemah lesu dan sangat letih.

Wilayah Persekutuan

i.            peperiksaan          : Semua calon SPM  akan menduduki peperiksaan tersebut bermula dari 14 November ini.

ii.            Pemeriksaan        : Pegawai Jabatan Kesihatan sedang membuat pemeriksaan terhadap kantin sekolah kerana    beberapa orang pelajar telah keracunan makanan semalam.

iii.            persatuan              : Semua persatuan dan pertubuhan diminta berdaftar kepada pihak berkenaan sebelum akhir  tahun ini.

iv.            Penyatuan             : Proses penyatuan rakyat yang berbilang bangsa itu memerlukan asimilasi secara anjakan  paradigma selama ratusan tahun.

v.            penemuan             : Surat khabar telah menyiarkan penemuan vaksin yang baru untuk mengubati penyakit  berjangkit itu.

vi.            Pertemuan            : Dalam  pertemuan itu, mereka telah berkenalan sehingga jatuh cinta.

Johor

i.            Seniman                :  P. Ramli merupakan seorang seniman yang teragung di Malaysia kerana beliau bukan sahaja    sebagai penyanyi tetapi juga seorang pelakon yang tersohor.

ii.            Budiman               : Bapa Norliza seorang budiman kerana beliau sentiasa berbudi bahasa dan bersikap lemah   lembut terhadap semua orang.

iii.            Hartawan              :  Hartawan yang telah meninggal itu memiliki harta benda yang bernilai sebilion ringgit.

iv.            Karyawan              : Sebagai seorang karyawan, beliau banyak menghasilkan karya sastera dan lukisan yang  terunggul.

v.            Peragawati            : Peragawati yang jelitawan itu sedang memperagakan fesyen yang terbaru di pentas itu.

vi.            Olahragawati        :  Gadis yang kecil molek itu merupakan seorang olahragawati yang disegani kerana berjaya  memenangi banyak acara lumba lari di peringkat antarabangsa.

Negeri Sembilan

i.            Bela                        :  “Jangan bela ayam di kawasan perumahan kami kerana berbau busuk,”kata ketua

ii.            Bela                        : Pertahanan  negara perlu kita bela untuk mengekalkan kedaulatan negara.

iii.            Reda                       :  Ombak yang bergelora itu telah reda dan nelayan pun selamat pulang ke kampung.

iv.            Reda                       : Kemarahannya telah reda setelah melihat keinsafan mereka.

v.            Perang                    : Perang telah berlaku antara dua buah negara itu akibat perebutan sungai di sempadan itu.

vi.            Perang                    : Orang yang memakai baju yang berwarna perang itu ialah datuk Zain.

Terengganu

i.            Bekalan :               Kami telah membawa bekalan ke sekolah supaya menjimatkan perbelanjaan.

ii.            Pembekal              : Pembekal barangan keperluan di kawasan itu telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana telah     menyorot barangan itu untuk menaikkan harga.

iii.            Membekalkan      :Ibu yang  tua itu hanya  membekalkan nasihat dan pesanan kepada anaknya yang ingin berhijrah  ke kota.

iv.            Menaiki                 : Dia menaiki bas ke sekolah setiap hari.

v.            Kenaikan               : Kita perlu berjimat cermat untuk menghadapi kenaikan harga barangan keperluan.

vi.            Penaikan               :  Usaha penaikan taraf kehidupan di kawasan luar bandar sedang dilaksanakan untuk membasmi     kemiskinan di situ.

Sabah

i.            Rancang                   :  Segala pembangunan perlu kita rancang dengan teratur supaya benar-benar membawa kebaikan    kepada kita bersama.

ii.            Merancang            :  Pihak kerajaan telah merancang projek itu supaya industri penternakan dapat dijalankan di    dalam ladang kelapa sawit.

iii.            Terancang             : Pembangunan yang terancang dapat menjamin perkembangan negara yang  mesra alam sekitar.

iv.            Rancangan            : Rancangan penternakan ikan tawar akan dijalankan di kawasan bekas lombong itu.

v.            Perancangan         :  Perancanganpembangunan bandar itu perlu mengambil kira semua aspek sosial kita.

Kedah

i.            Bergerigi               : Gadis itu menggunakan gunting yang bergerigi itu untuk menggunting kertas itu supaya kertas     itu kelihatan cantik.

ii.            Bergeletar             : Mangsa rogol itu asyik bergeletar ketika berada di balai polis.

iii.            bergerodak           : Peti itu bergerodak setelah digoyang kerana terdapat batu di dalamnya.

iv.            Bergemerlap         : Permata itu bergemerlap dan berkilat-kilat ketika dipamerkan di dalam kotak kaca itu.

v.            Bersemerbak        : Bunga-bunga di taman itu bersemerbak dan berbau harum sekali.

vi.            Berkeruping         : Luka di tangannya telah berkeruping setelah diubati.

SBP

i.            gamat                     : Keadaan di kelas itu gamat dan riuh sekali setelah cikgu pergi ke pejabat.

ii.            Gamat                    :  Gamat ialah sejenis hidupan laut yang berkhasiat kepada kesihatan manusia.

iii.            diam                       : Dia hanya diam sahaja ketika dimarahi oleh cikgu.

iv.            Diam                      : Mereka diam di tebing sungai itu sejak berpindah dari bandar.

v.            bidang                    :  Setiap orang perlu mempunyai kemahiran dalam bidang yang diceburi.

vi.            bidang                    : Bapa Chong memiliki beberapa bidang tanah di kampung kami.

YIK

i.            salah faham          :  Untuk mengelakkan salah faham antara kaum, kita perlu sentiasa ziarah-menziarahi dan faham- memahami.

ii.            salah guna             :  “Jangan salah guna kebebasan yang diberikan sehingga terlibat dalam kes juvenil,”kata emak  kepada saya.

iii.            sara hidup             :  ”Sayamenanam sayur-sayuran sebagai  sara hidup sahaja tanpa sumber nafkah lain,” kata orang  tua itu.

iv.            senarai hitam       :  Pemaju yang tidak bertanggungjawab telah dimasukkan dalam senarai hitam oleh pihak   kerajaan dan mereka tidak layak mendapat sebarang kontrak kerajaan.

v.            serba salah           :  Mereka berasa serba salah setelah permohonan pinjam itu ditolak oleh pihak bank.

vi.            soal siasat             :  Pihak polis akan melakukan soal siasat terhadap pemuda yang menyebar khabar angin dalam   internat itu.

Karangan -Keburukan Pengambilan Gula Secara Berlebihan


Soalan:  Rakyat Malaysia telah didapati mengambil gula secara berlebihan. Hal ini telah membawa pelbagai risiko terhadap kesihatan rakyat Malaysia. Lantaran itu, Kempen Satu Sudut Sudah Cukup telah dilancar agar rakyat kurang mengambil gula. Huraikan kemudaratan mengambil gula secara berlebihan  dan cadangkan langkah-langkah untuk menangani masalah tersebut.

Berpaksikan laporan daripada Kementerian Kesihatan, setiap rakyat Malaysia telah mengambil gula sebanyak 47 kg pada tahun 2010.  Secara analogi, rakyat Malaysia mengambil gula terlampau banyak jika berbanding dengan negara jiran dan negara maju. Sebagai contoh, rakyat Jepun hanya mengambil gula sebanyak 18 kg  setahun sahaja.  Ketika harga gula dinaikkan daripada RM1.60 tahun 2009  hingga RM 2.40  pada Mei 2011, rakyat Malaysia terkilan dan merungut atas kenaikan harga gula sehingga berasa runsing.  Padahal, masyarakat kita perlu  menyedari kesan negatif tentang pengambilan gula secara berlebihan.

Sesungguhnya, gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang sangat manis. Sebaliknya gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  Setakat ini, belum ada lagi ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak,  iaitu  ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes.  Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan.

Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan,  pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan  kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”.  Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.

Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil  makanan dan minuman yang manis.  Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar.  Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.

Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan  segera sebelum nasi menjadi bubur.  Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan,  dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan  makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu,  kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.

Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus  berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.  Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan  sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.

Secara intihanya,  kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.                                                                                                       (794 patah perkataan)

Karangan Jenis Antarabangsa – Bantuan kepada Mangsa Bencana Alam


Perosolan:  Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda  bencana alam. Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tak berbunyi, malang tidak berbau.Tamsilnya, tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 telah menggemparkan seluruh dunia.  Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia sering terlepas daripada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya.  Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan , kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan yang terus melanda ruang legar fikiran kita, apakah bantuan yang dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam malapetaka?

Tidak dapat dipertikaikan lagi, sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk membantu mangsa bencana. Khalayak ramai boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma.  Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan derma kerana mangsa bencana yang  amat memerlukan dan mendambakan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam  fana ini.  Mangsa bencana alam memerlukan wang kerana segala harta mereka telah dimusnahkan. Makanan, susu dan pakaian juga perlu diderma untuk membantu mangsa bencana yang hidup sehelai sepinggang dan tengah kelaparan.  Untuk mencapai hasrat murni ini, pelbagai peringkat kutipan derma sering dijalankan oleh badan NGO, terutamanya Persatuan Bulan Sabit Merah  dan pihak berkenaan supaya dapat meringankan beban mangsa seperti peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semua umat tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kananya pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia kala.

Tambahan pula, kita perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenga dan kepakaran  kepada negara yang menghadapi bencana untuk menyelamatkan mangsa. Negara kita boleh menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang profesional untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Ketika tertimbus dalam gempa bumi, setliap mangsa hanya mempunyai “72 jam” untuk diselamatkan sebelum menemui maut.  Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan efektif.  Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART di negara kita telah mempunyai segala kelengkapan yang canggih  dan kemahiran yang cekap untuk memberikan bantuan pada bla-bila dan di mana-mana sahaja. Sumbangan tenaga penyelamatan  boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni dengan menyedari pepatah, hari tidak selamanya panas.

Bukan itu sahaja, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan harus disumbangkan kepada negara yang dilanda musibah. Negara kita perlu memberikan bantuan ubat-ubatan, terutama ubat pelali, vaksin dan sebagai. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan, doktor dan jururawat harus dihantar ke  negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan . Tidak dapat dinafikan bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana pelbagai penyakit berjangkit akan merebak selepas bencana alam. Hal ini demikian kerana mayat yang bergelimpangan tidak dikebumikan  dengan baik. Bekalan air bersih turut tercemar.  Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti mereka turut terjejas.  Penyakit taun, kepialu dan batuk kering akan menular di tapak bencana alam.  Oleh itu, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan  telah musnah atau sarat dengan pesakit.

Selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak  kurang pentingnya kepada mangsa bencana  alam.  Pakar psikologi dan ahli kaunseling negara kita juga perlu dihantar ke negara yang dilanda bencana alam.  Lazimnya mangsa bencana alam akan menjadi trauma, iaitu sentisasa cemas, takut, kesiangan dan fikiran sentisa bercelaru.  Mereka hidup dalam penderitaan dan kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan kepada mangsa bencana alam. Sokongan moral daripada negara kita amat penting untuk merawati hati mereka yang telah remuk-redam.  Pemimpin dan artis yang terkemuka boleh menziarahi mangsa untuk memberikan semangat kepada mereka supaya mereka memperoleh   nur harapan   selepas menempuhi dugaan Tuhan. Lantas,  mangsa dapat menghadapi masa depan yang lebih berprestij dan penuh keyakinan.

Setelah ditimpa malapetaka, segala infrastrutur di negara kita akan binasa, bagai padang jarak, padang terkukur.  Walhasilnya, sekolah, hospital , klinik, jalan raya, rumah dan sebagai telah musnah. Lebih-lebih lagi, ekonomi  negara berkenaan telah lumpuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan negara kita patut menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama dengan ahli korporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi yang telah lumpuh di kawasan bencana itu.  Saranan tentang pelan induk pembinaan dan pembangunan sosioekonomi boleh dicadangkan agar ekonomi dan masyarakat terbabit  dapat pulih dengan secepat mungkin.  Sebagai contoh, negara kita telah berjaya mendirikan lebih daripada 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh , Sumatera Indonesia selepas dilanda tsunami pada tahun 2004.  Oleh itu , bantuan membina prasranan dan infrastrutur yang rosak patut dihulurkan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.

Secara tuntasnya,  sebagai makhluk ciptaan Tuhan ,  semua umat bagai saudara  yang tidah harus dibezakan  atas batasan geografi  untuk bantu-membantu. Kita tidak harus bersikap ego, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.  Kata orang tua-tua, di sebalik malapetaka ada hikmatnhya,  iaitu seluruh dunia memperlihatkan  perikemanusiaan  dengan menghulurkan bantuan kepada negara yang ditimpa musibah. Amat wajarnya kita membudayakan sikap tolong-menolong  sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negeri lantaran buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Seluruh dunia akan bermuafakat sehingga melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.

(Karangan ini berdasarkan rangka karangan  daripada Cikgu Anelyza dan telah diubahsuaikan )

Kepentingan Menyertai Badan Beruniform


Kepentingan Menyertai Badan Beruniform

Kokurikulum merupakan elemen yang sama penting dengan kurikulum akademik dalam pendidikan negara kita selaras dengan Falsafah Pendidikan  Negara yang berobjektif untuk  melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Salah sejenis kokurikulum yang mustahak ialah badan beruniform, seperti Kadet Polis, Kadet Bomba, Pengakap, Pandu Puteri Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya. Sesungguhnya, ibu bapa dan para pelajar perlu dicelikkan supaya menyedari kepentingan menyertai badan beruniform.

Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan badan beruniform sangat maslahat untuk memupuk semangat berdisiplin dalam kalangan pelajar. Hal ini terjadi demikian kerana peserta unit beruniform perlu mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan. Sebagai contohnya, ketika dalam latihan berkawad, setiap anggota harus mematuhi arahan ketua pasukan  masing-masing sehingga memiliki rentak yang sama semasa bergerak. Semangat berdisiplin ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan mereka sehingga tidak melanggar peraturan sekolah dan bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan sendiri. Nescaya remaja yang berdisiplin  dapat dicanai sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang jenayah juvenil.

Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa badan beruniform merupakan medan yang paling sesuai untuk mencambahkan pemimpin yang berwibawa.  Melalui kegiatan dalam pasukan  beruniform, pelajar telah dilantik atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan, amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan pengalaman dalam  pasukan beruniform dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin kelak. Sebagai fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa majoriti pemimpin negara kita pernah  menjadi pemimpin dalam pasukan beruniform  di sekolah.

Lebih-lebih lagi,  anggota  pasukan beruniform lebih berdikari  berbanding dengan pelajar lain. Lazimnya, pasukan beruniform akan menganjurkan pelbagai kegiatan  tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi.  Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai contoh, mereka perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Nilai berani, gigih, inisiatif, proaktif dan tabah akan dipupuk dalam sanubari setiap peserta untuk menghadapi pelbagai cabaran atau pancaroba. Lantaran daripada itu, anggota pasukan beruniform tidak seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi kebebasan untuk hidup berdikari.

Sudah terang lagi bersuluh,  badan beruniform juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan peserta.  Selain ilmu akademik, pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam kehidupan dan sosial. Dengan menyertai Persatuan St. John Ambulans, pelajar telah diberi pengetahuan tentang pertolongan kecemasan.  Dalam kegiatan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri,  pelajar turut belajar untuk masak-memasak . Pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat ditimba daripada buku teks. Sebagai insan yang sempurna pelajar tidak boleh  bergantung pada pencapaian akademik sahaja. Pengalaman  dan kemahiran  ini dapat mematangkan fikiran pelajar itu.

Badan beruniform juga dapat mewujudkan kerjasama antara pelajar yang berlainan bangsa. Semasa menjalankan kegiatan, pelajar yang berlainan bangsa dapat bertoleransi,  tolong-menolong dan bahu-membahu untuk menjayakan sesuatu program, bagai hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Ahli pasukan beruniform bukan sahaja menjalani aktiviti di dalam sekolah tetapi juga dalam  gabungan beberapa buah sekolah di peringkat daerah, negeri, kebangsaan malah antarabangsa. Anggota badan beruniform berpeluang berinteraksi dengan anggota dari sekolah lain bahkan negeri lain sehingga terjalinlah hubungan mesra antara generasi muda yang berbezaan latar belakang. Kerjasama mereka akan mencambahkan benih perpaduan, integrasi nasional dan nasionalisme dalam sanubari generasi muda kita sehingga merealisasikan 1 Malaysia.

Bukan itu sahaja,  pelajar dapat menentukan kerjaya masa depan mereka  melalui kegiatan badan beruniform. Hal ini terjadi demikian kerana setelah menyertai kegiatan pasukan pakaian seragam,  mereka dapat mencungkil bakat mereka dan minat mereka dalam bidang tertentu.  Tamsilnya, anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan Persatuan St John Ambulans lazimnya berminat menjadi doktor, jururawat dan pegawai kesihatan apabila dewasa kelak.  Anggota Kadet Polis berpeluang besar untuk diterima dalam pasukan Polis Diraja Malaysia kerana sejak di bangku sekolah mereka telah menjalani pelbagai latihan ala polis di sekolah. Ternyata,  anggota badan beruniform dapat menentukan hala tuju kerjaya mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Secara tuntasnya, kegiatan badan beruniform berupaya melahirkan modal insan yang berkualiti, iaitu berdisiplin, beramanah, berketerampilan, bekerjasama, bertanggungjawab serta bersemangat kental dan waja diri . Untuk mencapai pembangunan fizikal dan mental negara, generasi yang berjati diri dan berwawasan merupakan  elemen yang tidak ternilai seperti peribahasa “pemuda harapan bangsa, pemudi srikandi negara”.