Selamat Maju Jaya dalam Peperiksan SPM


Setelah berjuang berminggu-minggu hingga berbulan-bulan, sekarang tibalah masa saudara dan saudari akan menduduki peperiksaan SPM pada hari esok. Yang penting, saudara-saudari perlu menenangkan fikiran dan memeriksa segala alat tulis serta tidak lupa membawa kad pengenalan ke bilik peperiksaan. Cikgu ingin menasihati semua calon agar tidak terlalu bergantung pada soalan ramalan sehingga berasa hampa ketika soalan ramalan tidak dikeluarkan. Ingatlah segala usaha perlu anda lakukan tetapi pencapaian ditentukan oleh Tuhan. Tidurlah dengan lena supaya saudara dan saudari dapat menghadapi peperiksaan dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Kau boleh “. “Persiapan anda akan menghasilkan buah yang manis.”

Cikgu berdoa agar setiap calon dapat menuju ke arah kepujian hingga cemerlang A-, A dan A+.

Cara-cara Mengelakkan berlakunya banjir -edisi khas untuk aras sederhana


Atas permintaan sseetengah pelajar yang agak lemah dalam bahasa Malaysia, cikgu cuba memudahkan karaangan ini dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami. Semoga karangan ini membolehkan pelajar yang lemah ke arah kepujian Bahasa Malaysia dalam SPM.

Karangan Cara-cara mengelakkan berlakunya banjir
Pada bulan Disember 2006 dan Januari 2007, banjir telah menenggelami bandar Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Sebanyak 100,000 orang mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemulihan mangsa banjir. Selain faktor cuaca, kejadian banjir turut berkait rapat dengan perbuatan manusia yang tamak haloba dan tidak menjaga alam sekitar kita. Bak kata peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh” semua pihak perlu mengaturkan usaha-usaha untuk mengelakkan berlakunya banjir.
Untuk membendung berlakunya musibah ini, terlebih dahulu kerajaan harus mempertahankan hutan yang sedia ada. Hal in demikian kerana hutan merupakan kawasan tadahan air semula jadi. Air hujan yang lebat akan diserapkan ke dalam perut bumi kita melalui akar tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, kerajaan harus menggubal akta untuk melestarikan hutan rimba kita. Penguatkuasaan undang-undang harus dilaksanakan agar menjatuhkan hukuman yang berat terhadap mereka yang sanggup melakukan pembalakan haram. Natijahnya, usaha memelihara dan memulihara hutan berupaya untuk membendung banjir.
Bukan itu sahaja, sistem saliran di negara kita perlu diperbaik sebelum berlakunya banjir. Kebanyakan longkang dan parit sempit sahaja dan tidak dapat memuat kapasiti air hujan yang lebat. Lebih-lebih lagi sungai kita semakin cetek akibat hakisan tanah kerana penerokaan hutan dan sampah yang tersumbat. Dalam konteks ini, kerajaan setempat dan Jabatan Kerja Raya perlu membina longkang dan parit yang konkrit di samping mendalamkan sungai. Para pekerja majlis perbandaran perlu sentiasa membersihkan sampah yang terdapat di longkang, parit dan sungai. Lantas, kerajaan perlu menaik taraf sistem saliran di negara kita daripada berlakunya banjir kilat.
Di samping itu, media massa perlu mengadakan kempen supaya orang ramai memiliki kesedaran sivik terhadap alam sekeliling kita. Khalayak ramai perlu diingatkan supaya tidak membuang sampah ke dalam parit dan sungai kita, terutamanya penghuni rumah setinggan di sepanjang tebing sungai. Iklan, dokumentari, rencana dan forum perlu diadakan supaya masyarakat kita mencintai alam sekeliling kita . Hakikatnya, masyarakat kita perlu diingatkan supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran kita.
Secara tuntasnya, banjir merupakan bencana alam yang tidak dapat dielakkan tetapi risiko atau kerugian akibat banjir dapat diminimumkan jika semua pihak bekerjasama untuk menanganinya. Bak kata peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”, kita perlu mencintai alam sekitar daripada menyesal setelah menerima padahnya.
(355 patah Perkataan)

Cara-cara mengelakkan berlakunya banjir


Pada bulan Disember 2006 dan Januari 2007, banjir telah menenggelami bandar Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Sebanyak 100,000 orang mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemulihan mangsa banjir. Pada bulan Oktober tahun ini, banjir telah menyebabkan sebanyak 18 orang mati lemas di negeri Kedah dan menyebabkan kerugian yang berjuta-juta ringgit. Banjir bukan sahaja memusnahkan harta benda, infrastruktur, hasil pertanian dan penternakan, malah meragut nyawa manusia. Lebih-lebih lagi malapetaka ini turut menyebabkan inflasi dan menjejaskan ekonomi negara. Selain faktor cuaca, kejadian banjir turut berkait rapat dengan perbuatan manusia yang tamak haloba dan tidak menjaga alam sekitar kita. Bak kata peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh” semua pihak perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk mengaturkan usaha-usaha yang efektif untuk mengelakkan berlakunya banjir.
Untuk membendung berlakunya musibah ini, terlebih dahulu kerajaan harus mempertahankan hutan belantara yang sedia ada. Kita sedia maklum bahawa hutan merupakan kawasan tadahan air semula jadi. Air hujan yang lebat akan diserapkan ke dalam perut bumi kita melalui akar tumbuh-tumbuhan. Dengan kata lain, hutan merupakan “span” semula jadi yang dapat menerima air hujan yang lebat dan terus membekalkan air yang bersih melalui mata air ke sungai pada musim kemarau. Fungsi hutan tersebut telah ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Sehubungan dengan itu, kerajaan harus menggubal akta untuk melestarikan hutan rimba kita agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Penguatkuasaan undang-undang harus dilaksanakan agar menjatuhkan hukuman yang maksimum terhadap mereka yang sanggup melakukan pembalakan haram. Natijahnya, usaha memelihara dan memulihara hutan berupaya untuk membendung banjir.
Bukan itu sahaja, sistem saliran di negara kita perlu diperbaik sebelum ketibaan musim tengkujuh. Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan sistem saliran di negara kita dibina sejak zaman dahulu terutamanya di kawasan bandar. Lantaran itu, kebanyakan longkang dan parit sempit sahaja dan tidak dapat memuat kapasiti air hujan yang lebat. Tambahan pula kebanyakan permukaan bumi di bandar telah disimen dan ditarkan sehingga air hujan terus mengalir ke longkang atau yang parit yang sedia ada. Lebih-lebih lagi sungai kita semakin cetek akibat hakisan tanah kerana penerokaan hutan dan sampah yang tersumbat. Dalam konteks ini, kerajaan setempat dan Jabatan Kerja Raya perlu membina longkang dan parit yang konkrit di samping mendalamkan sungai. Para pekerja majlis perbandaran perlu sentiasa membersihkan sampah yang terdapat di longkang, parit dan sungai. Seperti peribahasa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, pihak berkenaan perlu berkomitmen untuk melaksanakan tugas tersebut. Tidak gunanya pihak-pihak terlibat saling mendakwa setelah nasi menjadi bubuh. Lantas, kerajaan perlu menaik taraf sistem saliran di negara kita daripada berlakunya banjir kilat.
Di samping itu, media massa memainkan peranan yang signifikan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya memiliki kesedaran sivik terhadap alam sekeliling kita. Hal ini demikian kerana khalayak ramai perlu diingatkan supaya tidak membuat sampah ke dalam parit dan sungai kita, terutamanya penghuni rumah setinggan di sepanjang tebing sungai. Media massa perlu mengadakan kempen kesedaran supaya masyarakat kita tidak membuang sampah di merata-rata dan mencintai sungai kita. Iklan, dokumentari, rencana dan forum perlu diadakan untuk membuat propaganda supaya kempen ini dapat menyuntik nilai cintai alam sekeliling kita kepada orang ramai. Walhasilnya, media massa perlu menyedarkan masyarakat kita supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran kita.
Sementelahan, perancangan yang teratur dan mesra alam perlu dilaksanakan untuk memajukan sesuatu kawasan. Sejak kebebangan ini, banyak kawasan paya, lembah dan kawasan rendah telah dieksploitasi sebagai kawasan perumahan dan perindustrian. Pemaju yang leka meraih keuntungan tidak mempertimbangkan implikasi pembangunan tersebut. Padahal, kawasan paya yang kelihatan kotor dan lembap itu berfungsi sebagai “bendung” alam yang dapat menakung air hujan yang berlebihan. Sebaliknya banyak kawasan lembah, tasik dan sungai telah ditambak. Untuk mengelakkan berlakunya banjir, kawasan hutan paya, lembah dan tasik harus dikekalkan. Sebarang pembangunan di kawasan tersebut perlu dilarang sama sekali. Jabatan Alam Sekitar perlu memikul tanggungjawab tersebut untuk memastikan setiap projek pembangunan perlu mesra alam dan tidak mencanai bentuk muka bumi dengan sesuka hati sehingga mengundang malapetaka, iaitu banjir. Oleh itu, pembangunan yang terancang dapat menolak bencana alam kelak.
Secara tuntasnya, banjir merupakan bencana alam yang tidak dapat dielakkan tetapi risiko atau kerugian akibat banjir dapat diminimumkan jika semua pihak bahu-membahu untuk menanganinya. Sikap melepaskan batuk di tangga tidak wajar diamalkan oleh pihak berkuasa. Bak kata peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”, kita perlu mencintai alam sekitar daripada menyesal setelah menerima padahnya.

Peranan Anak untuk Membahagiakan Keluarga


                          Peranan Anak untuk Membahagiakan Keluarga

Soalan : Setiap ahli keluarga memainkan perananan masing-masing untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab untuk membahagiakan keluarga. Bincangkan peranan anak untuk membahagiakan institusi kekeluargaan.

                        Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan ranjau dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindrom sosial yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi kekeluargaan. Bagiamanapun, bertepuk sebelah tidak akan berbunyi. Anak yang masih kecil juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini seiring dengan kata-kata mutiara, “Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan.” Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program rumahku, syurgaku.

                   Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, “ yang merah itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang indah itu budi.” Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adik-beradik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak, seperti “ terima kasih”, “maafkan saya”, “bolehkah saya”, “tolong” dan lain-lain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda ketika menghadapi anak mereka yang berperangai murni . Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.

                   Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri rumah tangga. Senario ini menyebabkan mereka sentiasa menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggup melakukan kerja-kerja rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan keluarga.

                       Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme, melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Hubungan ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika ibu bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat. Sebelum senario ini terjadi, anak perlu ada kesedaran  dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan. Walhasilnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan keluarga mereka.

               Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata orang yang bijak pandai, “orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaan-Nya.” Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa seperti peribahasa, “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa, anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adik-beradik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.

                Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan bersungguh-sungguh. Anak yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian anak merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis. Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka memperoleh biasiswa sehingga meringankan beban ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.

                Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan keluarga mereka. Anak yang bersopan, bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bapa dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun, setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota keluarga, progaram “Rumahku, Syurgaku” dan “Semakin Hari Semakin Sayang” baru dapat direalisasikan.

Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kita


Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kita
Dalam Bajet Tahun 2011, Perdana Menteri memangku Menteri Kewangan telah membentangkan bahawa Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan dibina bermula pada tahun hadapan dan dijangka akan siap sebelum tahun 2020. Belanja untuk membina sistem MRT dianggar akan mencecah RM 40 bilion. Senario ini memanifestasikan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di negara kita. Setakat ini hanya kira-kira 32% pengguna jalan raya tempatan menggunakan pengangkutan awam manakala di negara maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah lebih daripada 70% pengguna jalan raya ialah penumpang pengangkutan awam. Dalam konteks ini, pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi penduduk bandar-bandar besar di dunia. Untuk mencapai negara maju, semua pihak perlu sedar akan kepentingan pengangkutan awam kepada negara kita.
Kita sedia maklum bahawa salah satu kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Kesesakan lalu lintas merupakan duri dalam daging dan mimpi ngeri kepada penduduk bandar. Ketika pergi ke atau balik dari pejabat, mereka terpaksa berjam-jam di jalan raya akibat kesesakan lalu lintas. Sehubungan dengan itu, peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat menarik lebih banyak penumpang sehingga penggunaan kenderaan sendiri akan berkurangan di jalan raya. Secara tidak langsung, kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa perlu menetap lintasan khas sebagai laluan kenderaan awam seperti bas dan teksi. Alat pengangkutan awam yang tidak mengalami kesesakan lalu lintas dapat menarik pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam. Walhasilnya, pembangunan dalam sistem pengangkutan awam di tanah air dapat membendung kesesakan lalu lintas yang semakin kronik.
Selain itu, pengangkutan awam yang bermutu turut memperkasakan industri pelancongan. Di rantau Asia Tenggara ini, industri pelancongan negara kita masih ketinggalan berbanding dengan negara Thailand dan Singapura. Salah satu sebab ialah pengangkutan awam di Bangkok dan Singapura sangat canggih dan memudahkan pelancong ke sesuatu destinasi. Sebaliknya sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf negara maju. Di Hong Kong, Singapura dan Taiwan, penumpang hanya perlu membeli sekeping Kad Penumpang untuk menaiki MRT, bas malah Feri. Sistem pengangkutan yang canggih, selesa, mesra , bersih dan selamat dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong ke negara kita. Malangnya, bas ekspres dan bas persiaran di negara kita sering terlibat dalam kemalangan yang dahsyat. Tambahan pula, sesetengah pemandu teks yang biadab dan meminta tambang yang berlebihan akan menjejaskan industri pelancongan di negara kita. Tegasnya, pengusaha pengangkutan jalan raya tanah air kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kerana perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti dapat mendorong industri pelancongan negara kita.
Lebih-lebih lagi, sistem pengangkutan awam yang baik dapat menjanakan pembangunan ekonomi negara. Tanpa disedari bahawa pengangkutan awam yang berkualiti dapat meningkatkan produktiviti negara. Hal ini demikian kerana pekerja dapat sampai di pejabat atau kilang tanpa lewat dengan adanya sistem pengangkutan yang menepati jadual waktu. Saban hari banyak orang lewat ke medan kerja kerana mengalami kesesakan lalu lintas. Hal ini merupakan satu pembaziran kerana para pekerja telah letih dan penat setelah tiba di tempat kerja. Jika negara kita memiliki sistem pengangkutan yang canggih terutamanya MRT, LRT, Komuter dan sebagainya, pekerja kita dapat sampai di destinasi tempat kerja dengan cepat dan tepat pada masa. Nescaya, mereka lebih bersemangat dan memiliki daya produktiviti yang lebih tinggi. Daya pengeluaran yang tinggi dapat memangkinkan pembangunan ekonomi negara supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju. Gara-garanya, pengangkutan awam yang canggih berkait rapat dengan produktiviti negara .
Tambahan pula, pembangunan sistem pengangkutan awam dapat meminimumkan pencemaran udara di negara kita. Beberapa dasawarsa ini, kualiti udara negara kita semakin merosot sehingga negara kita dilanda jerebu. Salah satu faktor utama adalah kenderaan di jalan raya semakin banyak. Atas promosi pengeluar automobil dan syarikat kewangan, rakyat suka memiliki kenderaan sendiri. Mereka tidak suka menggunakan pengangkutan awam. Sesungguhnya rakyat kita perlu dicelikkan supaya menyedari bahawa menaiki pengangkutan awam merupakan tindakan mesra alam. Jika orang ramai menggunakan perkhidmatan bas, LRT dan sebagainya, kenderaan yang ada di jalan raya akan berkurangan sehingga asap yang mengandungi toksik dapat dikurangkan terutama karbon monoksida, sulfur dioksida dan lain-lain lagi. Ternyata, pengangkutan awam yang canggih lebih mesra alam, khasnya MRT yang akan dibina. Natijahnya, orang ramai perlu digalakkan supaya menaiki pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti alam sekitar kita.
Secara tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, pengangkutan awam yang berkualiti merupakan elemen yang penting untuk menjamin pembangunan negara kita. Sehubungan itu pihak berkuasa dan pengusaha pengangkutan awam perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk memartabatkan mutu pengangkutan awam di tanah air kita. Sistem pengangkutan yang canggih dapat menjanakan pembangunan negara kita ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang


Cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang
Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik.
Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.
Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.
Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.
Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru itu, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.
Kesimpulan, bak kata peribahasa, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, golongan muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru memainkan peranan yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara kita telah memiliki saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan seperti Bill Gates? Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik? Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari segi pembangunan kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari kebangsaan, 1 Malaysia Menjana Transformasi.