Arkib untuk September, 2010


Ketika negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat,  ilmu kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan tidak mengalami anjakan paradigma. Walhasilnya, pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan.  Apabila peniaga kita meraih keuntungan yang bagai tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam gelombang inflasi.  Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.

Untuk melahirkan pengguna yang bijak,  media massa memainkan peranan yang signifikan.  Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak media cetak terutama akhbar perlu  menerapkan pengetahuan atau hak-hak pengguna kepada khalayak ramai. Hal ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat kita. Dengan bantuan media,  pengguna akan mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh peniaga.  Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana, wawancara, forum dan ceramah tentang hak pengguna. Lantaran, suri ramah tangga yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung.

Badan-badan NGO perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  untuk mengadakan “Kempen Pengguna Yang Bijak”. Dalam konteks ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu memikul amanah untuk mengadakan kempen tersebut dari semasa ke semasa supaya orang ramai benar-benar mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Aktiviti tentang ceramah, pameran, forum, persidangan, pertandingan koir, peraduan melukis poster dan menulis esei tentang hak pengguna harus diadakan bersempena dengan kempen tersebut.  Khalayak ramai akan mengetahui cara untuk menuntut pampasan ketika membeli barangan atau mendapat perkhidmatan yang tidak bermutu. Orang ramai juga diberitahu tentang cara untuk membuat aduan ketika menghadapi penyelewengan peniaga seperti menaikkan harga dengan sesuka hati, menjual barangan yang telah lapuk tarik, menjual barangan yang tidak selamat atau mengancam kesihatan mereka. Keyakinan perlu diberikan kepada pengguna supaya berani menuntut hak mereka, dengan prinsip  “berani kerana benar”.

Selain itu,  kurikulum  dan kokurikulum  tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak.  Kata orang tua-tua, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantas, ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini amat penting supaya anak muda kita  akan menjadi jauhari yang mengenal manikam, iaitu menjadi pengguna yang bijak. Gara-garanya ketika melangkah ke kedewasaan, golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh pengguna yang tamak dan tidak beramanah.

Walaupun hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka.  Rentetan daripada itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang akibat hutang keliling pinggang.  Pengguna harus sentiasa membanding harga  di premis yang berbeza  sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Ketika berbelanja, pengguna dinasihati supaya menyediakan belanjawan  dan senarai barangan yang perlu dibeli. Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak berbelanja secara berlebihan terutamanya menghadapi jualan megah, jualan murah dan promosi yang istimewa. Ingatlah peribahasa,  “mulut disuap pisang, buntut dikaitkan onak.” Jangan kita mudah terpengaruh oleh pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita meminimumkan penggunaan kad kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang tidak berguna.  Natijahnya pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur baju pada badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga  berhutang kepada ceti haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit.

Bak kata peribahasa, “alah membeli menang memakai” harus dihayati oleh umat sejagat.  Setiap pengguna harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli. Misalnya, ketika membeli sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang produk itu dan mengkaji kandungannya , tarikh lupuk serta fungsi penggunaan.  Barangan yang disahihkan oleh SIRIM atau ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) sepatutnya menjadi pilihan kita. Pengguna yang bijak harus mengutamakan faktor keselamatan, kesihatan dan mesra alam terhadap sesuatu produk. Tamsilnya kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin yang mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar.  Dengan kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan yang tahan lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Secara tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna  dan ilmu kepenggunaan.  Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri. Pengguna harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang berniat jahat. Kempen Konsumen  Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, ”Perubahan Bermula Dengan Saya” harus dihayati oleh setiap pengguna.

Hak Asas Pengguna


Cara-cara menggalakkan pengguna tempatan membeli barangan Malaysia

Ketika  menyambut hari Kemerdekaan yang ke-53, sebagai rakyat Malaysia kita berasa bangga kerana ibu pertiwi kita telah berjaya melepaskan diri daripada belenggu penjajah dan berjaya menempa nama di persada dunia.  Salah satu kejayaan tanah air kita ialah barang buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kereta buatan Malaysia seperti Myvi dan Proton telah dijual di banyak negara, termasuk England, Australia dan lain-lain lagi. Ironinya, rakyat Malaysia masih ragu-ragu terhadap kualiti barangan Malaysia. Lantaran,  semua pihak yang terlibat patut mengaturkan strategi yang bersepadu untuk menggalakkan rakyat kita membeli barangan Malaysia supaya mata wang Malaysia tidak mengalir ke luar negara.

Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster,  menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”  Dengan propaganda daripada pihak media,   kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”

Untuk menjamin kualiti barangan Malaysia dan memberikan jaminan tentang mutu barangan Malaysia, para pengusaha sama  ada kaum petani, pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan korporat harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan mereka sebagai belanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).  Pengusaha kita harus mengaplikasikan budaya R&D sebagai budaya perniagaan mereka.  Mereka harus berusaha meningkatkan mutu barangan hasil mereka sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan kilang sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM.  Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam. Selain kualiti,  para pengusaha harus sentiasa meneliti, mengkaji dan menyiasat cinta rasa trend semasa, keinginan pasaran serta pembungkusan yang unik.  Perniagaan yang tradisional tidak dapat bersaing dalam dunia perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif.   Salah contoh yang nyata ialah setiap tahun, Syarikat Nokia dan Apple telah berbelanja  berpuluh-puluh bilion ringgit dalam penyiasatan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di pasaran dunia. Lantaran R&D  merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia. Seperti pepatah Cina, “ketika menongkah arus, kita  tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.”

Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat ialah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna.  Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik  dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa waswas. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen  pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke masa.   Hakikatnya,  Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3  telah  berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang.  Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia.

Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jasco, Tesco, Mertojaya, Parkson dan sebagainya boleh  mengadakan jualan megah atau jualan murah  tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya.  Para pelancong juga turut terpukau oleh potong harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.

Sementelahan pula,  pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara boleh disuntik kepada generasi muda kita.  Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Hunydai.  Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa.  Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Natijahnya,  rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan:  1Malaysia Menjana Transformasi. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita berbangga terhadap barangan Malaysia yang bermutu tinggi.


Soalan:  Buku-buku  bahasa klasik seperti Si Luncai dan Pak Kanduk semakin tidak diminati  oleh pelajar.  Bincangkan sebab-sebab pelajar tidak meminati buku bahasa klasik.

(Calon diingatkan supaya menghuraikan ciri-ciri buku bahasa klasik dalam karangan anda .  Karangan anda tidak boleh sama seperti tajuk sebab-sebab pelajar tidak minat membaca.)

Pada era globalisasi yang membawa pelbagai pembangunan,  buku-buku bahasa klasik semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan pelajar. Buku-buku bahasa klasik seperti Si Lucai dan Pak Kanduk yang pernah menjadi teman kanak-kanak zaman silam kini tidak disukai atau diminati oleh pelajar kita lagi. Apakah punca yang menyebabkan pelajar kita tidak menghargai khazanah kesusasteraan tanah air kita? Adakah kita sanggup membiarkan buku-buku bahasa klasik lenyap dan ditelan dalam pengedaran zaman?

Bak kata peribahasa, “ada asap, ada apinya”. Salah satu faktor yang menyebabkan pelajar kini tidak meminati buku bahasa klasik ialah mereka sukar memahami atau menghayati isi kandungan cerita klasik.  Hal ini terjadi demikian kerana generasi muda sekarang tidak dapat menguasai bahasa klasik yang penuh dengan diksi bahasa klasik, bahasa Arab, bahasa  Sanskrit dan bahasa istana.  Cerita bahasa klasik yang sarat dengan kata bahasa klasik seperti arakian, hatta, kalakian dan sebagainya tentu mengelirukan pelajar kita yang hanya menguasai bahasa baku. Tambahan pula, gaya bahasa dalam buku prosa tradisional  jauh berbeza dengan  cerpen atau novel  dewasa ini.   Ternyata, kebanyakan prosa  klasik merupakan sastera lisan yang diwarisi secara turut temurun. Lantarannya, karya tersebut tidak berpaksikan tatabahasa moden. Kebanyakan ayat disusun dengan ayat songsang atau inversi menyebabkan pelajar tidak dapat memahami konteks ayat itu Gara-gara sukar memahami kandungan cerita klasik  itu, kebanyakan pelajar akan meremehkan buku bahasa klasik yang dianggap tidak praktikal dalam zaman modenisasi ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa latar masyarakat dipaparkan dalam  cerita klasik jauh berbeza dengan latar  masyarakat pelajar sekarang, bagai langit dengan bumi.  Kebanyakan prosa tradisional memperlihatkan latar masyarakat kerabat diraja seperti Raja Muda,  masyarakat pahlawan yang berkuasa ghaib seperti Awang Suluh Muda, masyarakat feudal yang taat setia  seperti Hang Tuah serta masyarakat jahil seperti Pak Kanduk.  Latar masyarakat tersebut tidak sebati dengan kehidupan remaja kita yang sedang menempuhi modenisasi dan globalisasi yang sarat dengan persaingan dan cabaran. Justeru, sesetengah pelajar sukar menerima prosa klasik yang memperlihatkan latar masyarakat yang berlainan dengan realiti hidup mereka.  Bagaimanapun, pelajar kita lebih menerima karya fiksyen yang berlatarkan masyarakat sains dan teknologi yang canggih.

Lebih-lebih lagi kebanyakan prosa klasik masih mengandungi mitos atau dongeng yang tidak masuk akal.  Senario ini berlaku demikian kerana terpengaruh oleh agama Hindu pada zaman dahulukala.  Walaupun cerita-cerita itu telah “diislamkan” tetapi masih mengandungi kepercayaan tahayul.  Contohnya, dalam Sejarah Melayu,  Bat yang dikeluarkan daripada muntah lembu putih itu telah mengajarkan segala adat kerabat diraja kepada Sang Sapurba  di Bukit Siguntang.  Dalam Hikayat Seri Rama,  seekor kera yang bernama Hanuman  yang berilmu jadi-jadian telah banyak membantu Seri Rama untuk berlawan dengan Rawana.   Ternyata cerita-cerita berkenaan adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.   Sesetengah ibu bapa dan guru pun tidak dapat menerima cerita plot tersebut apatah lagi menggalakkan anak buah mereka membaca buku bahasa klasik.

Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar kita terdedah kepada  lambakan informasi dan hiburan.  Pelajar kita terlalu leka dalam pelbagai permainan siber dan komputer.  Mereka pun sibuk mengikut arus hiburan trend semasa, terutama bidang muzik dan filem.  Selain membaca buku teks dan buku rujukan,  mereka sudah jarang berjinak-jinak dengan buku karya sastera seperti antologi cerpen, sajak, dan novel.  Jangan harapkan mereka hendak menyelami buku bahasa klasik lagi. Sebagai kenyataannya, pelajar lebih suka membaca bahan bacaan picisan,  terutama majalah yang mengisahkan cerita gosip tentang artis, komik yang penuh dengan unsur lucah dan ganas atau bersensasi murah.  Amalan membaca pelajar sekarang cenderung kepada “budaya makanan segera”, iaitu mudah difahami dan tidak perlu memeras otak untuk berfikir.  Sehubungan dengan itu, buku bahasa klasik tidak diminati oleh pelajar yang sibuk untuk mencapai akademik yang cemerlang.

Lebih-lebih lagi, pencapaian akademik dan kokurikulum  yang merupakan prasyarat melanjutkan pelajaran turut menyumbang kepada masalah tersebut. Senario ini terjadi demikian kerana setiap pelajar menggembleng tenaga untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik masing-masing. Untuk mencapai A+ dalam semua mata pelajaran, mereka sibuk membuat latihan yang membukit, menyiapkan projek sekolah,  menelaah pelajaran dan menyertai kelas tuisyen.  Hakikatnya, prosa tradisional hanya diuji dalam kertas Bahasa Malaysia  yang hanya 8 mata sahaja dalam 240 mata  kertas Bahasa Malaysia SPM.  Dalam masa yang sama, mereka juga perlu bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum mereka. Mereka perlu bermesyuarat, berkempen, berkhemah, berceramah , berkawad kaki, menjalani pelbagai latihan dan lain-lain lagi.  Dalam situasi ini, pelajar tidak mungkin meluangkan masa untuk membaca buku bahasa klasik yang tidak berkaitan dengan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka .

Secara tuntasnya, karya sastera klasik merupakan aset yang tidak ternilai kepada kebudayaan dan tamadun bangsa kita. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bertanggungjawab untuk membangkitkan minat orang ramai terhadap karya sastera klasik semula, khususnya golongan pelajar.  Antaranya, semua karya tersebut boleh diterjemahkan atau diolah kepada animasi supaya pelajar kita dapat menghayati karya kreativiti  nenek moyang kita.  Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta”.  Lantarannya, pelajar akan ditaburkan benih minat dalam sanubari mereka supaya berminat untuk membaca karya bahasa klasik kita untuk lebih memahami bangsa dan budaya kita.

.