CIRI-CIRI REMAJA YANG BERKUALITI

Posted: Ogos 23, 2010 in Uncategorized

(Program Belajar  daripada Dewan  Siswa – Ogos 2010 muka surat 04-05)

CIRI-CIRI REMAJA YANG BERKUALITI

Setelah 53 tahun kita menghela nafas kemerdekaan,  remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.  Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara  saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap,”Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Nyatanya, remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.  Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif  merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran  ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka.  Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.”

Walau bagaimanapun,  kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental.  Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif,  remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja negara maju.  Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang,menjaga kebersihan, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Rakyat sihat, negara maju. Remaja  yang sihat dan kuat baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga harus memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantarannya ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja sebagai insan yang berakhlak mulia dan berjati diri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong,  menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela.  Remaja yang kedangkalan keimanan akan mencetuskan kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah dan berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinat  dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang.  Dalam industri teknologi  komunikasi dan maklumat (ICT),  umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka  melontarkan impian mereka. Namun demikian,  impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya.  Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi.  Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita  mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.

Intihanya, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.”  Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus  terlepas daripada belenggu angkara sosial.   Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.  Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya berada awang-awangan dan tidak dapat menjadi realiti.  Oleh itu remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya menjurus ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Komen-komen
  1. Jeng berkata:

    Terima kasih cikgu kerana sudi muat naik maklumat yang begitu berguna.

  2. Aisyah berkata:

    Terima kasih cikgu

  3. daksabah berkata:

    thanks cikgu..berguna untuk buat homework saya..

  4. menuju puncak berkata:

    best karangan ni.sungguh menarik.tq cikgu

  5. herda berkata:

    thx a lot ..

  6. esyam berkata:

    syukran derh

  7. Raja Shera berkata:

    karangan cikgu amat menarik sekali. terima kasih kerana kongsi bersama kami. insyaAllah saya akan cuba guna peribahasa peribahasa dalam karangan saya selepas ini

  8. chickpea ily berkata:

    most interesting !

  9. ZARA berkata:

    Thank you sir :D . it really helps me when writing the essay

  10. LI HUi berkata:

    thx for providing us these useful essays to improve our essay writing in BM^^

  11. Nazim Alimon berkata:

    panduan yg sangat berguna (:

  12. Aniq berkata:

    Wow..mantp krgn cgu..tengs ye..

  13. vimal raj berkata:

    terima kasih banyak-banyak cikgu

  14. perth person berkata:

    trima kasih….cikgu

  15. Wan Azry berkata:

    berapa ratus jumlah patah perkataan?

  16. sivasanggari murugan berkata:

    terima kasih cikgu…..panduan yang sangat berguna…

  17. Joshua berkata:

    Bagusnya karangan ni

  18. fatin berkata:

    Tq,sbab bg sye jwapan…,^_^

  19. Aida Noraida berkata:

    thank…sebab kongsikan dgn saya….

  20. NATASHA ZAINAL berkata:

    terima kasih cikgu. panduan yang sangat bagus.

  21. Tanish berkata:

    tq cikgu senang nak dapat band6

  22. FuadAmin berkata:

    Menelurkan??

  23. mohammad amin berkata:

    tq..,bleh jgk ambik ayt2 yg cnggih utk buat krangn… :-)

  24. Vinodh berkata:

    Very nice essay

  25. hafuza berkata:

    Terima kasih, cikgu. Karangan ini telah menjadi panduan untuk saya menyiapkan kerja rumah pada cuti raya cina ni. Doakan saya berjaya dalam SPM 2014

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s