CIRI-CIRI REMAJA YANG BERKUALITI


(Program Belajar  daripada Dewan  Siswa – Ogos 2010 muka surat 04-05)

CIRI-CIRI REMAJA YANG BERKUALITI

Setelah 53 tahun kita menghela nafas kemerdekaan,  remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.  Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara  saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap,”Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Nyatanya, remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.  Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif  merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran  ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka.  Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.”

Walau bagaimanapun,  kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental.  Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif,  remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja negara maju.  Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang,menjaga kebersihan, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Rakyat sihat, negara maju. Remaja  yang sihat dan kuat baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga harus memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantarannya ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja sebagai insan yang berakhlak mulia dan berjati diri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong,  menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela.  Remaja yang kedangkalan keimanan akan mencetuskan kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah dan berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinat  dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang.  Dalam industri teknologi  komunikasi dan maklumat (ICT),  umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka  melontarkan impian mereka. Namun demikian,  impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya.  Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi.  Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita  mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.

Intihanya, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.”  Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus  terlepas daripada belenggu angkara sosial.   Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.  Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya berada awang-awangan dan tidak dapat menjadi realiti.  Oleh itu remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya menjurus ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga barang keperluan


Langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga barang keperluan


Dasawarsa ini,   kenaikan harga barang keperluan atau gejala inflasi sering menghantui kehidupan rakyat jelata, terutamanya golongan yang miskin bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Isu barangan keperluan mengalami kenaikan harga sentiasa dipaparkan pada dada akhbar dan menjadi  pokok perbincangan  di  warung kopi hingga sidang parlimen. Inflasi telah menjadi rakyat kita hidup melarat.  Bagaimanakah rakyat kita dapat melepaskan diri daripada kemelut sosioekonomi   ini?  Seperti pepatah, “Di mana tembilang terhentak, di situ cendawan tumbuh” ,  kita perlu mencari akal untuk menangani kemusykilan ini.  Sehubungan dengan itu,  semua pihak  perlu seia sekata  mencari akal untuk menangani masalah kenaikan harga barang keperluan.

Pendekatan yang dominan untuk membendung masalah kenaikan harga barang keperluan ialah “Kempen Berhemat”.  Kata orang tua-tua, “Ingat  sebelum kena, jimat sebelum habis” dan “cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit“.   Amalan berjimat cermat merupakan tabiat yang terpuji.  Amalan membesarkan kerak nasi patut dielakkan kerana berbelanja banyak tanpa sekatan hanya merugikan diri sendiri.  Pengguna harus diterapkan ilmu kepenggunaan supaya sentiasa membeli barang berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Rakyat kita digesa supaya bersahaja dan sederhana tanpa boros terutamanya pada musim perayaan. Sebagai contoh,  telur, daging ayam, tepung menghadapi kekurangan di pasaran gara-gara pengguna membeli secara berlebihan sehingga membazir  dan tidak dapat dihabiskan.  Jika setiap rakyat dapat berhemat  dengan tabiat cicir dipungut, hilang dicari dalam setiap pembelian dan tidak membeli secara berlebihan,  nescaya inflasi  dapat diminimumkan kerana bekalan tidak mengalami kekurangan berbanding dengan permintaan di pasaran.

Dalam konteks ini,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna harus menganjurkan “Kempen Beli Barangan Malaysia”.  Langkah ini amat mustahak untuk memulihkan masalah inflasi. Rakyat Malaysia digalakkan supaya membeli bahan keperluan asas yang sedia ada di negara kita daripada membeli barangan import. Walhal,  harga barangan tempatan lebih berpatutan kerana  kos pengangkutan lebih murah.   Contoh,  rakyat kita seyogianya  makan buah-buahan dan sayur-mayur tempatan yang lebih segar dan berkhasiat  daripada barangan import.  Seperti peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Jika semua rakyat dapat bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan bersemangat patriotik,  kempen tersebut berupaya meningkatkan peniagaan dalam negara.  Senarionya,  petani, peniaga dan  pengusaha industri kecil dan sederhana kita turut memperoleh  manfaatnya.  Hal ini dapat memantapkan defisit pendapatan negara supaya nilai mata wang Malaysia tidak jatuh berbanding dengan mata wang asing.  Inflasi turut diredakan.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan tindakan yang ampuh untuk membendung inflasi.  Demi mencegah penyelewengan peniaga yang tamak haloba, pegawai yang terlibat tidak patut bertindak sambil lewa atau bena tak bena sahaja. Misalnya pemantauan atau serbuan hanya dijalankan secara bermusim sahaja.  Lebih-lebih lagi kegiatan rasuah meruwatkan situasi ini.  Tanpa tindakan undang-undang yang ketat, peniaga akan bertindak bermaharajalela dengan meningkatkan  harga barangan jualan tanpa belas kasihan.  Rentetan daripada itu,  kompaun dan hukuman penjara mandatori   harus dijatuhkan dengan semaksimumnya terhadap peniaga yang  licik.  Pemantauan yang lebih kerap harus diadakan terhadap semua premis perniagaan dan pasar malam. Masyarakat kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti “Rakan Cop” untuk melaporkan berlakunya penyelewengan peniaga .   Hukuman yang ketat dan tindakan pegawai yang bersih, cekap dan amanah pasti dapat mengekang peniaga yang ingin menangguk di air keruh.

Orang ramai juga diseru supaya menanam sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.  Sebenarnya,  cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an  dengan  rancangan Buku Hijau.  Ketika dilanda inflasi, khalayak ramai diseru supaya menjalankan penanaman di halaman rumah.  Contohnya, hidroponik diperkenalkan kepada masyarakat bandar untuk menanam sayur-sayuran di halaman rumah.  Orang ramai tidak patut memandang enteng terhadap hal ini kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Kita boleh menanam sayur-sayuran sebagai hobi untuk mengisi masa senggang. Selain menjamin kesihatan fizikal dan mental, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk membeli sayur-mayur organik tanpa racun serangga.  Tindakan ini bagai serampang dua mata. Alangkah baiknya, kita dapat memperoleh cili, tomato, bawang hijau, serai, ulam-ulaman yang segar-bugar  dari pasu bunga di halaman rumah kita. Dengan kata lain, penanaman sayur-sayuran di rumah turut menyumbang ke arah inflasi sifar.

Bagaimanapun,  kerajaan kita memerlukan perancangan yang bersepadu untuk menangani inflasi di negara kita.  Sebagai cerucuk kepimpinan negara, anggota kabinet harus menentukan segala polisi kerajaan dilaksanakan dengan berkesan tanpa menimbulkan inflasi. Pemimpin dan para pegawai awam yang terlibat harus memantapkan defisit pendapatan negara, meningkatkan produktiviti  masyarakat kita,  menjamin kestabilan mata wang Malaysia, menaikkan kadar faedah simpanan, mengawal kenaikan gaji secara rasional serta memastikan pengagihan barangan keperluan di dalam negara. Hal ini dapat mengelakkan pengaliran mata wang yang terlalu banyak di dalam pasaran tempatan sehingga berlakunya inflasi.  Sebarang tindakan kerajaan akan memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat jelata. Kita tidak tergamak melihat golongan miskin dibebankan lagi dengan inflasi kerana berapa berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul. Kerajaan harus sentiasa bertindak bijaksana seperti peribahasa, “menarik rambut di dalam tepung”.  Sebelum memansuhkan subsidi terhadap bahan keperluan asas,  kerajaan patut membuat kaji selidik dan analisis tentang kesannya terhadap indeks inflasi di negara kita.

Tuntasnya,  pihak kerajaan dan Persatuan Pengguna harus berkomitmen untuk menangani masalah  inflasi  di negara kita. Semua pihak tidak patut bersikap melepaskan batuk di tangga. Bayangkan masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan terpaksa menghadapi inflasi.  Jangan biarkan cogan kata,  “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”  sebagai slogan sahaja. Lantarannya,  kita perlu berganding bahu dan bersinergi untuk menoktahi inflasi  di negara kita.

Punca-punca kenaikan harga barang (Inflasi)


Ketika menongkah arus globalisasi yang semakin mencabar, negara kita tidak dapat melepaskan diri daripada belenggu inflasi, iaitu kenaikan harga barang secara holistik. Senario ini bukan sahaja memberikan beban kepada rakyat jelata, terutama golongan yang berpendapat rendah yang terpaksa hidup bagai kain basah kering di pinggangDuri dalam daging ini perlu dicabut dalam masyarakat kita sebelum parah, rusuhan akibat daripada inflasi yang berlaku di luar negara  harus menjadi iktibar di negara kita.  Sebelum mengatur langkah untuk menangani masalah ini, biarlah pihak berkuasa menyusuri  punca-punca kenaikan harga barang di negara kita.

Kata orang tua-tua, “ada asap, ada api”. Setiap kemusykilan pasti ada pangkal pokoknya. Salah satu faktor prioriti yang menyebabkan inflasi ialah kenaikan harga minyak.  Tidak dapat dinafikan bahawa harga minyak petroleum telah naik secara drastik di pasaran antarabangsa, sehingga pernah mencecah US $144 setong pada tahun 2007.  Hal ini memangkinkan kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel yang telah disubsidikan oleh kerajaan itu  ke negara jiran kita. Lantaran kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak petrol dan diesel  untuk mengurangkan beban kewangan.  Penyeludup yang tamak  telah menyebabkan rakyat jelata mengalami penderitaan.  Hal  ini sama dengan peribahasa, “ orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah.” Kenaikan minyak yang sebagai kos pengangkutan yang terutama akan memberikan kesan yang amat besar kepada harga barangan. Walhasilnya,  harga semua barangan turut naik dengan serentak.

Sesungguhnya, bencana alam juga merupakan punca yang mencetuskan kenaikan harga barang. Ketika berlakunya banjir atau kemarau yang berpanjangan, hasil tanaman pasti berkurangan.  Sebagai contoh, ketika dilanda musim tengkujuh, harga sayur-sayuran akan naik secara mendadak. Sayur sawi pernah mencecah harga sebanyak RM8 sekilo manakala cili merah kini telah mencecah harga RM15 sekilo sebagai harga runcit.   Sejak beberapa tahun ini, negara pengeluar makanan terutama seperti negara Thai, Rusia, India dan Kanada sering mengalami pelbagai musibah yang  berkaitan dengan pemanasan global. Hasil tanaman mereka mengalami kemerosotan. Akibatnya, kerajaan negara berkenaan sanggup mengehadkan eksport hasil tanaman dan ternakan  seperti beras, bahan tenusu, tepung gandum, bawang dan lain-lain ke luar negara sehingga harga barang makanan di pasaran antarabangsa turut menjulang.  Rentetan daripada itu, rakyat kita terpaksa membeli barang makanan yang semakin mahal.

Tambahan pula, kenaikan mata wang asing berbanding dengan mata wang Malaysia telah menyumbang kepada gejala ini.  Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam.  Peniaga  negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing.  Sebagai realiti, negara kita terpaksa berurus niaga dengan negara asing melalui US dolar.  Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang agak rendah.  Tidak dapat dinafikan bahawa mahu tidak mahu, kita tetap perlu membeli pelbagai barang keperluan dari luar negara kerana tidak dapat dihasilkan di dalam negara kita sendiri, seperti tepung gandum.

Lebih-lebih lagi,  ada peniaga yang bersikap tamak haloba sering memasang jerat untuk meningkatkan harga barang.  Demi meragut keuntungan yang lumayan,  terdapat banyak peniaga sentiasa menangguk di air keruh dengan menyorok barangan keperluan. Mereka enggan menjual barang keperluan di pasaran lalu menimbulkan suasana yang gelisah dalam kalangan pengguna bahawa sudah kehabisan stok. Pengguna yang  seperti cacing kepanasan akan merebut untuk membeli barangan itu sehingga peniaga berani menaikkan harga untuk menjual barang itu.  Hal ini sering berlaku  dalam masyarakat kita.  Barangan keperluan seperti beras, gula, dan tepung sering  menjadi sasaran kepada peniaga yang sentiasa menunggu peluang.

Kita semua sedar bahawa permintaan pasaran lebih tinggi daripada bekalan akan tercetusnya inflasi.  Sehubungan dengan itu, pengguna kita juga perlu  bertanggungjawab dalam konteks ini.  Rakyat Malaysia tidak memiliki kesedaran tentang ilmu kepenggunaan.  Mereka sering membeli-belah dengan berdasarkan nafsu dan bukan berpaksikan keperluan.  Sebagai contohnya, ketika musim perayaan,  penduduk Malaysia sering membeli barangan secara berlebihan  sehingga berboros kerana tidak dapat menghabiskannya.  Tamsilnya, mereka sering merebut daging ayam dan telur.  Mereka membuat kuih-muih dan juadah dengan terlalu banyak.  Apabila permintaan di pasaran lebih banyak daripada bekalan,  harga barang naik secara drastik lagi.  Siapakah yang menjadi mangsa?  Tepuk dada tanya selera.  Kenapa perayaan tidak boleh diraikan secara sederhana?  Bukankah hubungan yang intim sekeluarga lebih penting daripada  menyediakan makanan yang melambak?  Ingatlah peribahasa, “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Untuk melepaskan diri daripada belenggu inflasi,  pihak kerajaan, terutama Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna harus bertindak bijaksana  seperti menarik rambut di dalam tepung untuk menangani masalah ini daripada terus menular. Kerjasama pihak pengguna, peniaga dan prihatin pihak berkuasa amat signifikan untuk meminimumkan inflasi sehingga mencapai inflasi sifar. Hal ini memang selaras dengan aspirasi 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Cara anda mencegah penyakit H1N1


Soalan:                        Penyakit H1N1 yang melanda negara kita telah menyebabkan banyak warganegara kita menghadapi kematian. Sebagai insan yang prihatin, apakan peranan atau tindakan anda untuk mencegah penyakit ini?

Pada bulan April 2009,  penyakit H1N1 yang juga terkenal sebagai influenza A telah merebak dari Mexico ke seluruh dunia.  Sesungguhnya penyakit ini merupakan selesema babi yang lazimnya berjangkit dalam tubuh badan binatang ini. Penyakit ini telah mengalami perubahan genetik sehingga mula menjangkiti badan manusia. Ternyata penyakit ini bukan sahaja menggugat kesihatan manusia sejagat malah menyebabkan banyak nyawa melayang di seluruh dunia.  Setakat  awal bulan Ogos  2010,  sebanyak 11,500 orang penduduk Malaysia telah menghidap penyakit ini dan sebanyak 91 orang telah menemui ajal di negara kita.  Penyakit ini telah mengancam sosioekonomi negara kita, terutamanya sektor pelancongan dan perkhidmatan. Sebagai insan yang bertanggungjawab, saya perlu mengetahui cara-cara yang berkesan untuk mencegah penyakit ini.

Untuk mencegah penyakit ini, terlebih dahulu saya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat yang lengkap tentang penyakit ini.  Hal ini demikian kerana pengetahuan dan maklumat yang betul dapat  membantu saya untuk menjauhi penyakit tersebut, terutamanya informasi tentang punca berlakunya penyakit , simptomnya dan cara-cara untuk mencegahnya. Seperti peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”  Sehubungan dengan itu saya akan berusaha  memperoleh maklumat tersebut daripada pelbagai wahana, seperti televisyen, Internet,  dan Kempen Anti-H1N1 yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dengan kata lain, setiap insan perlu memiliki pengetahuan sebelum bertindak untuk mencegah penyakit yang membawa maut ini.

Amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran merupakan inisiatif yang prioriti kepada setiap individu untuk mencegah penyakit berjangkit, termasuklah wabak H1N1. Rentetan daripada itu, saya perlu sentiasa memastikan fizikal saya sentiasa bersih.  Kata orang tua-tua, “Kebersihan merupakan satu keimanan”.  Saya akan sentiasa mencuci tangan dengan cara yang betul dan menggunakan sabun antibakteria, terutamanya balik dari luar.  Selain itu  saya akan memastikan persekitaran rumah saya bersih. Dalam konteks ini, saya akan mengadakan gotong-royong  di rumah. Setiap anggota keluarga  saya akan bekerjasama bagai hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk menjalankan pembersihan, tamsilnya mencuci tandas, mengelap lantai dan meja. Kegiatan sedemikian  bukan sahaja dapat mengintimkan silaturahim sekeluarga tetapi juga dapat mencelikkan kesedaran sekeluarga tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Amalan menjaga kebersihan merupakan tindakan berjaga-jaga untuk menghadapi semua jenis penyakit berjangkit.

Tindakan menerima suntikan vaksin juga merupakan cara pencegahan yang bijaksana. Kita harus sedar bahawa golongan yang berisiko tinggi harus disuntik vaksin sebagai tindakan  berjaga-jaga. Antaranya, golongan yang berisiko tinggi ialah golongan tua, kanak-kanak, berpenyakit asma, ibu yang berbadan dua dan sebagainya.  Jika saya sering menghadapi penyakit asma atau sistem pernafasan yang bermasalah, saya harus menerima suntikan vaksin di hospital atau klinik yang berdekatan. Hal ini dapat mencegah saya daripada penyakit H1N1 yang dapat membawa maut kepada hayat saya. Bagaimanapun vaksin yang sedia ada belum lagi menjamin keselamatan yang seratus peratus dan barang kali terdapat kesan sampingan.

Di samping itu, saya harus memakai topeng mulut (penutup mulut dan hidung) sebagai tindakan pencegahan.  Ketika demam dan batuk, sebagai insan yang bertanggungjawab, saya harus memakai topeng mulut agar tidak menyebarkan bakteria atau wabak kepada keluarga dan rakan saya. Pada masa yang sama, saya perlu sentiasa memakai topeng mulut  seandainya  ada orang yang sentiasa batuk di sekeliling saya. Ketika berada  di tempat  tumpuan khalayak ramai,  bertopeng mulut adalah amalan yang terbaik untuk menjauhkan diri daripada pelbagai wabak. Sebagai contohnya, setelah dilanda penyakit SARS, penduduk Hong Kong sentiasa bertopeng mulut di tempat awam seperti di MRT dan pasar raya. Hakikatnya  mereka berjaya meminimumkan kadar kematian ketika dilanda penyakit Wabak H1N1.  Oleh itu, saya juga akan menasihati ahli keluarga dan rakan saya yang sedang demam atau berbatuk supaya memakai topeng mulut sebagai tanggungjawab mereka untuk meminimumkan penyakit ini. Hal ini selaras dengan peribahasa, “cegah sebelum parah.”

Pada masa yang sama, saya perlu senantiasa mengamati simptom influenza A yang mungkin berlaku pada diri sendiri atau orang lain.  Simptom wabak ini ialah demam hingga 38 C, batuk, bersin dan berhingus .  Jika saya mendapati  bahawa saya terdapat simptom tersebut, saya segera mendapat rawatan dari hospital atau klinik yang berdekatan. Selain banyak minum air dan mengambil ubat yang ditetapkan , saya perlu mengkuarantin diri sekurang-kurangnya 7 hari. Jika keluarga saya atau kenalan saya yang baru balik dari negara yang sedang dilanda penyakit tersebut,  saya pasti akan memujuknya supaya mengkuarantin diri di rumah beberapa hari untuk berehat walaupun belum dikesan ada simptom tersebut.  Tidak dapat dinafikan bahawa wabak dapat disebar secara global kerana sistem penerbangan yang canggih sekarang. Ingatlah seruan Kementerian Kesihatan, pencegahan wabak merupakan tanggungjawab kita bersama. Jika kita semua dapat berjaga-jaga dan sanggup mengkuarantin diri ketika terdapat simptom wabak tersebut, H1N1 tidak akan berleluasa secara drastik.

Secara tuntasnya, jika setiap individu dapat memikul tanggungjawab untuk mencegah penyakit H1N1,  saya pasti bahawa penyakit ini dapat dibendung sehingga mencapai kadar sifar. Pihak Kementerian Kesihatan dan kabinet kerajaan harus sentiasa bertindak bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung  terhadap penyakit berjangkit. Tindakan sediakan payung sebelum hujan harus dilakukan oleh para pegawai kesihatan untuk menghadapi sebarang penyakit berjangkit. Segenap lapisan masyarakat juga perlu dididik dan dinasihati supaya mempunyai kesedaran untuk mencegah semua jenis penyakit.  Bak cogan kata, “Rakyat Sihat, Negara Maju.”

Karangan Rangsangan: Permainan Tradisional


  1. Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang kepentingan permainan tradisional . Panjang huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah kata.
  2. Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengembangkan permainan tradisional . Panjang huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah kata.

Kepentingan permainan tradisional

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini  ialah permainan tradisional kita yang terdiri daripada  congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu,  generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional  kepada bangsa dan negara.

Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul.  Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni  yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan  tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”

Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta“, setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka  di negara kita patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti peribahasa, “serampang dua mata.” Ternyata, permainan tradisional merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.

Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan  adanya permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-layang.  Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka.  Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri.  Senario ini jauh lebih baik daripada  individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.

Natijahnya,  permainan tradisional  merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada  generasi kepada generasi, seperti  peribahasa, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Walaupun zaman beredar,  tetapi segala  warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut  oleh arus globalisasi.

Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi  sehingga mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana.  Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera.  Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.”

Sesungguhnya,  Kempen Cintai Permainan Tradisional  merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mengembang  permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan  Kebudayaan dan Kesenian Negara  secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari  dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional  di negara kita, seperti  wau, gasing, congkak dan lain-lain.  Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain,  pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan negara.  Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti  peraduan karang-mengarang,  pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”  Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut  dan berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional.  Berpaksikan kelab permainan tradisional, pelajar boleh  diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi.  Setelah disuntik ilmu itu, pelajar  akan berminat  untuk melibati permainan tradisional tersebut.  Generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan pelajar  secara langsung dalam permainan tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu  sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan  sebagai kegiatan riadah.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan tradisional dalam masyarakat kita.  Hal ini demikian kerana sebagai  fitrah,  manusia  memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hingga antarabangsa.  Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat  permainan tersebut dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, “menyelam sambil minum air”.

Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”