Arkib untuk Mei, 2010


Semasa mencari isi tersurat, calon mesti mengamati atau meneliti fokus pertama yang ada dalam kehendak soalan rumusan itu, misalnya “Rumuskan kekangan-kekangan untuk…” . Calon perlu mencari isi yang sedia ada dalam petikan yang berkaitan dengan fokus pertama itu. Lantarannya calon diminta memahami kata-kata kunci yang sering wujud dalam soalan rumusan, seperti

-kesan, impak, implikasi, akibat

-keburukan, risiko, kelemahan, akibat yang negatif

-kebaikan, kelebihan, kepentingan, faedah, manfaat, kesan positif

-punca, faktor, sebab

-langkah, kaedah, cara, tindakan, usaha, alternatif, pendekatan, formula, strategi,

-kekangan, cabaran, halangan, masalah, kemusykilan

-peranan, fungsi, tanggungjawab.

Semua isi tesurat mesti berdasarkan isi yang ada dalam petikan dan jangan ada pandangan sendiri.  Isi yang telah diambil perlu lengkap tetapi membuangkan huraian dan contoh, iaitu ” misalnya, contoh, umpama, seperti, iaitu…..” . Sebaliknya jika terdapat “terutamanya, khususnya” bahagian isi dikehendaki.

Sebaliknya, ketika mencari isi tersirat, calon hanya mengamati fokus kedua sahaja. Amalkan prinsip berikut:

a. isi yang tidak terdapat dalam petikan.

b. isi itu mesti konkrit.

(-*”Anak perlu menyayangi ibu bapa.”- tidak konkrit dan abtrak.  Sepatutnya, “Anak perlu sentiasa menziarahi ibu bapa dan menghubungi mereka melalui telefon” – konkrit

-*”Jiran harus tolong-menolong untuk menghapuskan jenayah.”-tidak konkrit.  Sepatutnya, “Kita perlu menjaga keselamatan rumah jiran ketika mereka balik ke kampung.”- konkirt).

c. positif

(-*”Pihak polis harus menembak mat rempit yang melanggar undang-undang.” -negatif.   Sepatutnya, “Pihak polis harus mengadakan sekatan jalan raya untuk menahan mat rempit.”-positif”)

Semua isi tersurat dan tersirat boleh ditulis dengan satu isi satu ayat atau digabung dengan dua isi. Ketika menggabung dua isi, calon mesti memastikan bahawa kedua-dua isi itu mempunyai subjek atau prediket yang sama.

Selamat Hari Guru

Posted: Mei 15, 2010 in Uncategorized

Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang pernah mengajar saya dari sekolah rendah hingga Pusat Pengkajian Tinggi. Tanpa asuhan dan didikan mereka, saya tidak akan mengenali dunia ilmu. Terima kasih cikgu.

Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan sejawatan dengan saya di seluru negara. Selamat berjuang demi melahirkan insan yang gemilang.

Marilah kita bersama-sama terus meningkatkan kualiti pengajaran kita demi mencambahkan situasi yang kondusif kepada anak buah kita agar  mereka berintelek dan bersahsiah mulia.

“Guru Pembina Bangsa Negara”

Cikgu Tan W. H.


Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-39
TEMA
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
16 haribulan Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Seluruh negara akan menyambut dan merayakan Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut dan merayakan ketibaan Hari Guru bagi tahun ini.
Penghormatan ini amat layak diterima oleh para guru atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru atas kejayaan dalam mengharungi cabaran-cabaran ini dengan semangat dan iltizam yang tinggi dan meletakkan sistem pendidikan di negara ini ke tahap yang membanggakan.
Sejak tahun 1990, sektor pendidikan kita telah berkembang pesat dalam meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Namun begitu, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap yang setara dengan negara maju dan bertaraf dunia. Masih banyak yang perlu dimantapkan dan diperbaiki supaya sistem dan institusi pendidikan benar-benar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,
Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjayakan bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Menigkatkan Akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan lebih bersungguh-sungguh dan berkesan.
Justeru, guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, murid dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.
Sebab itulah Kementerian telah memilih tema “Guru Pembina Negara Bangsa” dijadikan sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah negara bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawasan 2020. Nilai-nilai mulia seperti sifat saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.
Matlamat kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa adalah selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai-nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan 1Malaysia iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai teras yang perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Setiap rakyat menjunjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.
Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap rakyat. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan negara bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab
mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.
Dalam merealisasikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan, kita peru menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan untuk membina kumpulan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing. Ini selaras dengan agenda negara melaksanakan Model Ekonomi Baru. Maka, dalam hal ini, guru-guru perlu lebih berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreratif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan murid-murid.
Oleh itu, guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.
Kerjaaan pula akan terus berusaha untuk memartbatkan profesion keguruan. Ke arah itu, langkah-langkah penambahbaikan sistem pemilihan calon guru dan memantap program latihan asas perguruan akan dilaksanakan. Di samping itu kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Plan) dan mewujudkan beberapa insentif di bawah Sistem Tawaran Baru atau New Deal kepada kepimpinan sekolah serta guru-guru bagi meningkatkan prestasi sekolah. Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah bagi memperbaiki laluan kerjaya guru dengan mewujudkan peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih baik melalui “Faster Career Progression” atau “Fast Track”. Dari semasa ke semasa tahap persekitaran kerja diperbaiki dengan meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan, khususnya di luar bandar dan pedalaman. Saya percaya, pendekatan dan usaha-usaha ini akan menjadikan profesion keguruan suatu profesion yang lebih menarik.
Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.
“Selamat Menyambut Hari Guru”
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2010

Tema Hari Guru

Posted: Mei 5, 2010 in Uncategorized

Tema Hari Guru 2010

“Guru Pembina Negara Bangsa”

2009
Guru Pembina Negara Bangsa
2008
Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007
Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006
Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004
Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003
Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002
Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001
Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000
Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999
Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998
Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997
Guru Bestari Sekolah Bestari
1996
Guru Malaysia Dan Pendidikan Bertaraf Dunia
1995
Permuafakatan Dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994
Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993
Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992
Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991
Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990
Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989
Guru Pembina Budaya Ilmu
1988
Guru Pengasas Budaya Membaca
1987
Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986
Pendidikan Teras Nasionalisme
1985
Guru Dan Masyarakat Asas Kesejahteraan Pendidikan
1984
Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983
Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982
Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981
Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980
Pendidikan Teras Perpaduan Rakyat
1979
Murid Sejahtera Negara Jaya
1978
Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977
Dedikasi Dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976
Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan
1975
Guru Dan Pembangunan Negara
1974
Peranan Guru Dalam Zaman Sains Dan Teknologi
1973
Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972
Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Soalan Karangan:  Bersempena dengan  Hari Guru, anda ingin menulis satu rencana  tentang peranan guru dalam pembangunan Negara.

Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Oleh : Aristotle Tan

Saban tahun,  16 Mei  merupakan hari keramat  lagi suci murni kepada warga sekolah, iaitu Hari Guru di tanah air kita.   Sekalung budi dan tahniah serta penghargaan yang setinggi-tingginya kepada insan yang bergelar sebagai pendidik. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah telah meraikan Hari Guru dengan pelbagai aktiviti seperti mengadakan jamuan, memberikan hadiah dan mengadakan persembahan kepada guru yang disayangi. Ternyata, setiap warga sekolah perlu menghargai jasa dan sumbangan guru terhadap pembangunan individu, bangsa dan Negara. Hal ini selaras dengan tema Hari Guru 2010, “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Walhal, guru memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan umat sejagat. Atas bimbingan guru, lahirlah golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. Seperti kata mutiara Sasterawan Negara Usman Awang, “Lahirnya  seorang Perdana Menteri, Doktor, peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya  baca dan tulis.” Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk dada tanya selera.  Dengan kata lain,  guru turut menentukan pembangunan negara dengan melahirkan tenaga mahir dan pakar-pakar dalam setiap bidang untuk menjamin kemajuan negara.  Iltizam dan komitmen guru telah berjaya mencambah insan yang berketerampilan dan berdaya saing untuk memartabatkan pembangunan negara sehingga negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju.

Pada era digital ini, guru tidak lagi memainkan peranan sebagai penyampai ilmu kepada putera dan puteri yang berjuang dalam medan ilmu.  Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar berupaya memperoleh ilmu  melalui pelbagai wadah dan wahana, seperti internet, e-buku, majalah, surat khabar malah televisyen satelit.  Ekoran daripada itu, guru perlu bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu. Mutakhir ini, guru bukan sahaja perlu menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang majornya tetapi juga perlu menguasai ilmu psikologi dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif dalam pembelajaran dan pemelajaran  .  Dalam situasi ini, pelajar lebih minat dan beria-ia untuk mengikuti pelajaran. Sebagai impaknya, guru yang menguasai teknologi  maklumat dan komunikasi dapat membimbing pelajar mencapai akademik yang cemerlang.

Salah satu tanggungjawab  yang dominan bagi setiap guru adalah melahirkan golongan yang memiliki mentaliti kelas pertama kepada tanah air kita.  Hal ini terjadi demikian kerana warga didik bukan sahaja memberikan ilmu dunia tetapi juga perlu menyampaikan ilmu akhirat kepada anak buahnya. Pendidikan kerohanian sangat mustahak  kepada setiap insan.  Guru perlu sentiasa menyuntikkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya mereka dapat menuju ke arah hakiki dan tidak mudah terpengaruh oleh hasutan syaitan.  Dengan bimbingan, prihatin, asuhan dan kasih sayang guru, insan yang bersikap penyayang, bersemangat kental dan berfikiran terbuka akan bercambah.  Jati diri penggerak wawasan.   Atas sumbangan  guru, pelajar yang memiliki jati diri dan bersahsiah mulia dapat menjanakan pembangunan negara.

Kita perlu mengakui pengorbanan guru dalam melahirkan anak watan yang berguna. Malangnya,  kini banyak pelajar telah dipengarui oleh budaya barat dan hedonisme sehingga terbelenggu oleh kemelut sosial .  Remaja kita seolah-olah tidak dapat melepaskan diri dalam kepompong sindrom sosial,  seperti melepak, mat rempit, penagihan dadah, dan lain-lain lagi. Sesungguhnya guru perlu mendukung cita-cita untuk membanteras sindrom sosial dalam pekarangan sekolah dan   masyarakat kita.  Rentetan daripada itu, guru perlu sentiasa bekerjasama dengan ibu bapa untuk mengetahui kemusykilan pelajarnya .  Para pendidik sentiasa mengorbankan masa dan tenaga untuk memulihkan pelajar yang tersesat di hujung jalan supaya mereka dapat balik ke pangkal jalan.  Secara tidak langsung, guru berupaya mementuk masyarakat madani dan sakinat.  Jasa guru akan sentiasa dikenang dalam sanubari anak muridnya hingga akhir hayat.

Guru selalu diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.  Dedikasi guru dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah sentisa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak murid.  Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang.  Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar.  Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam.  Oleh itu guru perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.

Natijahnya,  komitmen yang utuh  dalam kalangan guru dapat memperkasakan pembangunan insan yang berkualiti  sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia.  Guru cemerlang negara terbilang.  Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing anak pelajar ke arah  cemerlang. Gemilang dan terbilang. Selamat Hari Guru.                                                                   https://twoohiok.wordpress.com