Arkib untuk Februari, 2010


Kehendak soalan karangan perlu difahami secara teliti sebelum anda merangka atau menulis karangan anda.  Ketika menyemak  karangan pelajar,  cikgu mendapati bahawa pelajar sering salah tafsir kehendak  soalan karangan.  Antaranya  pelajar tidak memahami konsep “masalah sosial”,   “masalah remaja”,  “salah laku pelajar”,  “jenayah remaja” atau “juvenil remaja”.

Pada pendapat cikgu, masalah sosial  merupakan isu secara umum, iaitu merangkumi semua jenis masalah yang berlaku dalam masyarakat kita.  Misalnya masalah remaja, masalah keluarga, penganiayaan kanak-kanak,  masalah warga tua yang terbiar, masalah jenayah, masalah rasuah, dan lain-lain lagi.

Masalah remaja pula boleh ditakrifkan sebagai fenomena atau gejala negatif yang berlaku dalam kalangan remaja kita, yakni merangkumi  salah laku remaja di sekolah,  juvenil,   samseng jalanan (mat rempit), gengsterisme,  vandalisme, lari dari rumah,  pembuangan bayi, seks rambang dan sebagainya.

Sebaliknya, salah laku pelajar  bermaksud masalah pelajar yang menyalahi  peraturan atau melanggar disiplin sekolah.  Contohnya  kes gengsterisme (kes buli), vandalisme, ponteng sekolah, merokok,  mencuri, tidak berpakaian kemas dan lain-lain lagi.  Dengan kata lain,  kes kesalahan  yang lazimnya berlaku di kawasan sekolah atau di sekeliling sekolah.  Oleh itu masalah mat rempit  atau kes  lari dari rumah tidak sesuai dimasukkan ke dalam  isu salah laku pelajar kerana jarang-jarang berlaku di dalam kawasan sekolah.

Jenayah  remaja atau juvenil  ( perkataan juvanal adalah ejaan yang salah) dapat  didefinisikan sebagai kes jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja sama ada masih belajar atau tidak bersekolah lagi.  Konsep “jenayah”  ialah kes yang melanggar undang-undang negara, tamsilnya kes mencuri, merompak, merogol, menagih atau mengedar dadah,  menyertai kongsi gelap, berlumba haram, terlibat dalam kegiatan maksiat dan sebagainya.

Semoga huraian cikgu dapat membantu pelajar sebagai panduan ketika menulis karangan.  Ingatlah isi atau contoh yang diberikan oleh calon peperiksaan akan memperlihatkan kematangan pelajar itu ketika menulis karangan.  Sebagai contoh, pelajar membincangkan kes merokok dalam isu juvenil  adalah tidak munasabah.


Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu.  Lantarannya alam sekitar kawasan sekolah  yang kondusif akan mempengaruhi pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai  pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang dominan  untuk menceriakan kawasan sekolah.

Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah  mengadakan program bergotong-royong.  Aktiviti bergotong royong harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah.  Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing.  Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam  pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar.  Dalam situasi ini,  pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.

Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula.  Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku syurgaku.”  Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah.  Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu.  Melalui aktiviti ini,  setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi.  Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Kelas terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan.  Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada petang, seperti mencuci tandas dan kantin.  Secara anjakan paradigma, pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga  kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program  3K. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian  kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan  dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut.  Hal ini akan  memangkinkan semangat pihak sekolah  untuk memastikan program berjaya diadakan.  Sebagai impaknya,  program 3K perlu diadakan di sekolah.

Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah. Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.


Ketika membaca dan menelaah novel Tingkatan Empat  –  Melunas Rindu, terdapat  beberapa misteri atau saspens yang menghantui fikiran pembaca, termasuk cikgu.  Antaranya :-

Ke manakah perginya  Sofia?

Apakah yang telah berlaku terhadap Sofia?

Kenapa Encik Robert Lim sanggup menyerahkan anaknya Sofia kepada Pak Mali dan  Salmah sebagai anak angkat?

Kenapa Fuad melarikan Sofia?  Apakah yang berlaku antara mereka?

Bagaimanakah Fuad dapat mengetahui Sofia merupakan adiknya?

Tanpa mendapat jawapan tersebut, terasa ada kekurangan dan tidak sempurna membaca novel tersebut.  Bersyukurlah cikgu mendapat maklumat lanjut tentang perkembangan plot  yang melengkapkan perkembangan isi Melunas Rindu daripada novel PIA.  Rupa-rupanya penulis Hartini Hamzah telah menulis kedua-dua novel tersebut  secara bersiri.

Terima kasih kepada  Cikgu Abd Razak Bin Hassan kerana membongkar misteri tersebut.

*** Bagaimanapun calon SPM  2011, pelajar Tingkatan 4 tahun ini diperingatkan supaya tidak memasukkan isi  kandungan dalam novel PIA  ketika menjawab soalan novel. Hal ini demikian kerana anda hanya diminta menjawab soalan  berdasarkan novel Melunas Rindu sahaja.

Berikutnya adalah sinposis Novel PIA  yang dibekalkan oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan.

NOVEL “PIA”


Novel bertajuk PIA yang ditulis oleh Hartini Hamzah merupakan siri pertama daripada dua sekuel novel iaitu PIA dan MELUNAS RINDU. Setelah membaca novel PIA sehingga tamat, kita akan memperoleh banyak maklumat yang tidak terjawab dalam novel Melunas Rindu. Misalnya, kematian Sofia diceritakan akibat daripada satu kemalangan jalan raya bersama ibunya Susan apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung. Dalam novel ini juga diceritakan sebab Sofia diserahkan kepada Pak Mail dan Mak Salmah iaitu kesan kepercayaan daripada ibu bapanya iaitu Robert Lim dan Susan bahawa Sofia bernasib malang. Diceritakan juga bagaimana Pak Ismail dan Mak Salmah membawa Sofia ke Danau Seberang sejak kecil. Pengarang juga menceritakan secara panjang lebar peristiwa Fuad “menculik” Sofia semasa mengikut rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Setelah Sofia dan ibunya Susan terkorban dalam kemalangan jalan raya, barulah Fuad mendapat tahu bahawa Peter Lim dan Swee Lan bukanlah ibu bapanya yang sebenar. Hal ini dijelaskan oleh Peter Lim bahawa adalah mustahil untuk Fuad memperisteri Sofia kerana Sofia ialah adik kandungnya. Peter Lim juga kemudian menceritakan tentang ibu Fuad bernama Mariana. Swee Lan kemudian memberitahu Fuad bahawa ibunya Mariana meninggal dunia ketika melahirkannya. Diceritakan pada akhir novel iaitu Fuad kembali ke Danau Seberang untuk menebus semua kesalahannya kepada Pak Ismail dan Mak Salmah.


Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar.  Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena  ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan?  Tampaknya, masalah gengsterisme,  vandalisme, samseng jalanan,  pembuangan bayi,  remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk  mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja.

Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial.  Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama.  Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab.  Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.

Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab  untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini  terjadi demikian kerana  banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar.  Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia,  remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya.  Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak  yang mulia sehingga berjaya.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan  teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa  mampu membentuk sahsiah  anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”.  Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi.   Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak  akan mencanai generasi  muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.

Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna  dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian  ini berlaku  kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh  gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai  menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni  berdominan untuk  membanteras kegiatan negatif.

Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus  sentiasa bertanyakan masalah anak-anak.  Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu,  setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.

Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.