Soalan KBKK dalam Prosa Klasik Pelayaran yang Penuh Peristiwa


Dalam soalan 3 c kertas 2 Bahasa Malaysia SPM,  pasti terdapat  satu soalan KBKK.  Semua pelajar dinasihati supaya berbincang dengan rakan atau guru untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.  Semua jawapan yang diberikan oleh pelajar perlu mematuhi beberapa syarat, iaitu konkrit (tidak bersifat abstrak), positif dan tidak terkandung dalam petikan berkenaan.

Berikut cikgu akan mengemukakan beberapa soalan KBKK dalam Prosa Klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa -Tingkatan Empat 2010 untuk rujukan para pelajar. Pelajar diminta berfikir dan mencari jawapannya secara kumpulan.

1.   Pada pendapat anda, bagaimanakah kegiatan lanun dapat dibanteras? (3 markah)

Pada pendapat saya, Pihak tentera laut Malaysia harus bekerjasama dengan tentera laut negara jiran kita untuk berkongsi maklumat dan menyerbu sarang lanun.  Pihak berkuasa harus menggunakan peralatan yang canggih untuk mengesan lanun, seperti satelit dan bot yang berkuasa tinggi.  Pihak tentera kita perlu memiliki senjata yang canggih untuk berlawan dengan lanun.

2.  Jika anda Awang Sulung Merah Muda, apakah tindakan anda ketika menghadapi lanun?   (3 markah)

Jika saya Awang Sulung Merah Muda, ketika menghadapi lanun saya perlu tenang dan tidak kelam kabut. Saya perlu memastikan keselamatan diri dan ahli keluarga saya terlebih dahulu daripada harta. Saya akan cuba menghubungi pihak berkuasa supaya mendapat bantuan daripada tentera laut.

3.  Pada pendapat anda, wajarkah kegiatan sabung ayam dipertahankan di negara kita?  (3 markah)

Pada pendapat saya, kegiatan sabung ayam tidak wajar dipertahankan di negara kita kerana sabung ayam merupakan sejenis perjudian yang melanggar ajaran agama. Kegiatan ini juga tidak berperikemanusiaan. Binatang sepatutnya diternak untuk mendapat daging atau hiasan dan bukan untuk dilaga.

4.  Pada pendapat anda, apakah keburukan tabiat berhutang?  (3 markah)

Keburukan abiat berhutang ialah memupuk sikap memboros. Orang yang suka berhutang akan menghadapi tekanan hidup kerana sentiasa dituntut hutang oleh orang lain. Dia akan dipandang hina oleh orang lain dan tidak bermaruah diri. Produktiviti orang yang berhutang sangat rendah kerana perlu sentiasa mencari wang untuk menjelaskan hutangnya. Orang yang berhutang mudah diperalat oleh anasir jahat untuk melakukan kegiatan yang tidak bermoral atau kegiatan jenayah.

Sinopsis Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa


Untuk pengetahuan calon SPM, ketika menelaah Prosa Klasik , anda hanya perlu mengetahui keseluruhan cerita sahaja, iaitu Sinopsis sahaja manakala  komsas boleh diabaikan kerana soalan komsas seperti tema, nilai, persoalan dan sebagainya tidak akan diuji dalam peperiksaan SPM.  Dalam Soalan 3 (c) -Prosa Klasik, calon hanya diuji pemahaman terhadap petikan itu dan satu soalan KBKK. Lantaran semua pelajar hanya perlu memahami petikan Prosa Klasik itu dan mengkaji soalan-soalan yang menguji KBKK sahaja.  Atas permintaan pelajar, cikgu cuba menghuraikan sinopsis Prosa Klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa dalam buku Antologi Tingkatan Empat 2010.

Sinopsis Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa (Tingkatan Empat 2010)

Dalam  antologi Harga Remaja, Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, watak utama Awang Sulung Merah Muda sebagai anak raja telah menyamar sebagai budak hitam yang comot sehingga dipandang hina oleh Tuanku Nakhoda Tua. Ketika dilanda ombak yang bergelora, seisi geliung (kapal) telah mabuk dan jatuh pengsan. Anak Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah meminta dayangnya Si Kembang Cina pergi memanggil Awang Sulung Merah untuk mengemudikan geliung itu. Atas bantuan Awang Sulung Merah,  geliung itu dapat diselamatkan .

Setelah tiga hari kemudian , ketika  laut sudah tenang, jurumudi di geliung itu telah sedar lalu mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam . jurumudi itu menunjukkan keris yang berdarah kepada Tuanku Nakhoda Tua lalu mengatakan bahawa dialah yang menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua yang baru sedar daripada  mabuk itu turut mempercayai jurumudi itu dan berjanji jika geliung itu selamat tiba di tanah Jawa, puterinya akan dikahwinkan kepada orang yang menyelamatkan geliung itu.

Beberapa hari kemudian, anak kapal diminta mengambil air dan kayu api.  Anak kapal lain telah pergi ke pulau untuk mengambil air dan kayu bakau. Sebaliknya Awang Sulung Merah telah berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air laut dan membawa balik batang nipah. Setelah itu Tuan Puteri minum air laut itu dan mendapati bahawa air yang masin itu telah bertukar menjadi air yang manis.

Tuanku Nakhoda Tua menghimpun semua anak kapal lalu mengumumkan bahawa sesiapa yang berjaya menyelamatkan  baginda, puteri baginda dan geliung itu daripada bajak (lanun) ketika meredah kawasan Laut Sekona Lingga itu dikahwinkan dengan puteri baginda .

Ketika melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Semua anak kapal telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri sendiri.  Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina untuk meminta  bantuan Awang Sulung Merah. Awang Sulung Merah merajuk. Tuan Puteri pun menyuruh Si Kembang Cina menyediakan air limau dan sabun kepada Awang Sulung Merah. Setelah mandi, Awang Sulung Merah kelihatan kacak dan berseri-seri.  Ketika lanun ternampak Awang Sulung Merah mereka mengenali penghulu mereka lalu meminta ampu. Semua lanun telah menyerahkan semua dinar emas kepada Awang Sulung Merah untuk melangsaikan hutang kepada Datuk Batin Alam.  Semua lanun pun undur dari situ.

Sekali lagi jurumudi itu mencabut kerisnya dan menikam ayam lalu mengatakan bahawa dialah yang mengalahkan bajak  dan menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua berasa gembira lalu hendak mengahwinkan Puteri  Dayang Seri Jawa dengan jurumudi itu. Tuan Puteri memarahi ayahandanya lalu menjelaskan keadaan yang sebenarnya.  Akhirnya Tuanku Nakhoda Tua  mengadakan kenduri secara besar-besaran dan mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah.

Setelah beberapa ketika kemudian, geliung itu pun belayar hingga Negeri Pati Talak Terengganu.  Bujang Selamat telah dititahkan oleh baginda untuk bertanya tentang tujuan kedatangan rombongan Awang Sulung Merah.  Atas keizinan isteri, Awang Sulung Merah dan anak buah pun diundang ke istana Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung Merah dijemput bertaruh dalam sabung ayam. Setelah Awang Sulung Merah berseru-seru, ayam baginda Kinantan Suci telah berjaya menewaskan ayam Bujang Selamat.

MENULIS PENGENALAN RUMUSAN


Banyak pelajar yang masih tidak dapat menulis pengenalan rumusan dengan betul. Terdapat dua cara yang biasa digunakan untuk menulis pengenalan rumusan iaitu :

1. Mengemukakan tema keseluruhan petikan rumusan. (Tema ialah persoalan pokok/ utama).
2. Menggantikan kata kunci/ arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti/ sinonim.

Daripada kedua-dua cara tersebut, hampir 90 peratus pelajar menulis pengenalan dengan cara menukar arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti.

Contoh :
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.

Arahan tugasan dalam rumusan :

1. Kepentingan tidur dari segi saintifik ( Isi tersurat )
2. cara-cara mengatasi masalah sukar tidur ( Isi tersirat )

Untuk menulis pengenalan, hanya arahan isi tersurat sahaja digunakan.

Tema : Petikan membincangkan kebaikan tidur dari segi saintifik bagi menjamin kecerdasan seseorang.

Menukar kata kunci “kepentingan” menjadi :
1. Faedah
2. Kelebihan
3. Peranan
4. Keutamaan
5. Keperluan
6. Manfaat
7. Maslahat
8. Mustahak
9. Afdal

Dianggap salah jika menukar arahan menjadi : Kemestian, keistimewaan, fungsi. Jika pelajar mengulang kata kunci “kepentingan” juga mendapat markah 0.

Arahan kedua soalan iaitu cara-cara mengatasi masalah sukar tidur tidak perlu ditulis sebagai pengenalan rumusan.

Pastikan kata kunci dalam arahan soalan rumusan


Arahan rumusan :

1. Sebab/ punca
2. Kesan/ akibat/ implikasi/ natijah
3. Langkah/ cara/ tindakan/ strategi/usaha/ teknik/ modus operandi
4. Faedah/ kelebihan/ manfaat/ kekuatan/kepentingan/ kemaslahatan.
5. Peranan/ fungsi/ tanggungjawab/ tugas/ kewajipan
6. Kekangan/ halangan/ rintangan/batasan/masalah
7. Kelemahan/ keburukan/ kekurangan
8. Ciri-ciri/ sifat-sifat/ kriteria
9. Usul/cadangan/ pendapat/ pandangan

ANALISIS SOALAN RUMUSAN (2001-2009)


Para pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan SPM perlu mengkaji dan menganalisis rumusan tahun-tahun lepas untuk mengetahui skop soalan yang bakal diuji pada tahun ini.

SPM SKOP SOALAN
NOV 2001 Tanggungjawab penulis
JUN 2002 Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
NOV 2002 Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan
JUN 2003 Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
NOV 2003 Kepentingan pelabelan makanan
JUN 2004 Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.
NOV 2004 Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.
JUN 2005 Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu
NOV 2005 Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
JUN 2006 Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.
NOV 2006 Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat
JUN 2007 Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
NOV 2007 Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.
JUN 2008 Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

NOV 2008 Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
JUN 2009 Punca-punca keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan..
NOV 2009 Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur