Langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian.

Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an.  Bagaimanapun di bawah Misi Nasional,  kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan1998,  minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi  negara kita. Selain itu kerajaan juga  mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya,  banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor pertanian? Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”,  semua pihak yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di tanah air.

Untuk memajukan sektor  pertanian,  kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi  terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya  hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri,  petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih  demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik  dan sebagainya.  Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat  serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang canggih.

Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro  untuk  pekebun kecil . Dengan modal yang mencukupi,  pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia  untuk menjalankan pertanian mereka.  Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu,  dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.

Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba.  Penubuhan koperasi  peladang digalakkan untuk memainkan  peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu,  pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini  dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa  “serampang dua mata.” Rentetan daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita.  Sistem pengagihan yang teratur dapat  memantapkan harga  produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.

Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan.  Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani,  pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung  serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini  bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia,  seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.

Natijahnya,  sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini berprestij  kepada generasi muda.  Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,  jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.

(Karangan ini telah diubahsuaikan daripada karangan dalam blog ini pada tahun 2009)


Latihan ayat aktif dan ayat pasif.

Contoh:

  1. Mereka tidak dapat menjelaskan hutang  sebelum hujung  bulan ini.

Subjek : Mereka

Objek : hutang

Kata kerja transitif: menjelaskan

Jawapan:

Hutang tidak dapat dijelaskan oleh mereka  sebelum hujung bulan ini.

2.  Ia/Dia sentiasa membersihkan dan mengemaskan  rumah kami dengan penuh tanggungjawab.

Subjek : Ia/Dia

Objek: rumah kami

Kata kerja transitif: membersihkan dan mengemaskan

Jawapan:

Rumah kami sentiasa dibersihkan dan dikemaskannya dengan penuh tanggungjawab.

3.   “Kalian perlu menjelaskan hutang selewat-lewatnya hujung bulan ini”, kata ceti haram itu.

Subjek : Kalian (Kata ganti diri kedua)

Objek:  hutang

Kata kerja transitif : menjelaskan

Jawapan:   (Jika  subjek ialah kata ganti diri pertama  atau kedua,  kata kerja pasif tidak boleh ada imbuhan   “di”.)

“Hutang perlu kalian jelaskan selewat-lewatnya hujung bulan ini, “ kata ceti haram itu.

Sebelum  membuat latihan ayat aktif dan ayat pasif,  semua murid  perlu  membezakan kata ganti diri pertama dan kedua  daripada yang lain.  Selain itu, para  murid perlu menguasai imbuhan  “Me” dengan huruf-huruf tertentu, seperti berikut:

Imbuhan
Me l, m, n, r, y, ng, ny
Mem b, (p), (f), pr,pl
Men c, d, j, (t), z, sy
Meng a, e, i, o, u, g, h, (k), kh, kl,kr
Meny s
menge Satu suku kata seperti  tin, pos, bom, syor, sah,……

Latihan  tukar ayat aktif kepada ayat pasif.

  1. Encik Sofiah membuat pinjaman bank untuk menjalankan projek penternakan ikan tawar.
  2. Beberapa orang pekerja  sedang menebas semak samun di kiri dan di kanan lebur raya itu.
  3. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap  peragut yang menyebabkan kematian seorang wanita yang mengandung.
  4. Hakim telah menjatuhi ketua sindiket itu hukuman gantung sampai mati.
  5. Kini kaum petani telah mengetinkan hasil buah-buahan   setelah menjalani  kursus  industri  kecil dan sederhana anjuran MARA.
  6. “Saudara perlu segera menghadiri temu duga itu jika hendak mendapat pekerjaan itu,” kata kerani itu kepada saya.
  7. Saya telah menerima surat pelantikan  sebagai jurulatih bola sepak pasukan sekolah kamu.
  8. Ibu telah memasakkan ayah kari kepala ikan.
  9. Saya telah memasak lauk ikan  untuk ayah.
  10. Setelah membuat segala persiapan,  kami sekeluarga pun menyambut para tetamu di  luar  dewan .
  11. Kami telah mengesyorkan usul itu kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan dengan segera.
  12. Selain berbuat bising,  pelajar-pelajar itu juga suka mengganggu guru yang sedang mengajar di dalam kelas.

Jawapan Latihan Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Menjelang SPM

Posted: November 13, 2011 in Uncategorized

Pada hari esok, calon-calon SPM akan menduduki peperiksaan selama satu bulang. Cikgu ingin menasihati kalian agar bertenang dan sabar untuk menghadapi peperiksan ini. Kebimbangan dan stres akan menjadi kekangan yang menjejaskan prestasi anda. Segala usaha anda akan membuahkan kejayaan yang cemerlang dan terbilang nanti jika berbekalkan persiapan yang penuh dengan keyakinan.

Jangan tidur lewat. Anda memerlukan kesihatan dan ketenangan jiwa untuk menjawab soalan pada hari esok. Keletihan dan kebimbangan akan menjadi anda ketandusan idea untuk menghasilkan karangan yang bermutu. Tidurlah sebelum pukul 11.00 malam ini.

Saya berdoa agar kalian akan berjaya dalam peperiksaan SPM.

Good luck, 加油! Gambateh!

Cikgu Tan

10.50 pm 13 Nov 2011


Bermula tahun 2012, novel Tingkatan Tiga akan ditukar semula. Bagi Zon Johor, Sabah dan Sarawak, novel komponen sastera ialah Cempaka Putih Untukmu. Karya daripada Puan Rohani Deraman. Setelah cikgu membaca buku novel ini, saya mendapati bahawa novel ini memang sesuai sebagai bahan bacaan Tingkatan Tiga. Bahasa yang digunakan bersahaja dan mudah difahami sesuai untuk semua pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Novel ini yang bertemakan persahabatan antara dua kaum juga selaras dengan hasrat negara kita untuk melahirkan masyarakat yang harmoni.  Perkembangan plot secara kronologi akan memudahkan pelajar memahami cerita berkenaan tetapi menarik kerana disispkan pelbagai kejutan dan saspens. Tahniah dan Syabas kepada Puan Rohani Deraman yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu untuk remaja kita.  Semoga beliau akan terus berjuang untuk menghasilkan karya yang lebih unggul dan terbilang.

Seterusnya saya akan berusaha untuk menyediakan pengetahuan komsas tentang novcl tersebut kepada pelajar Tingkatan Tiga 2012 sebagai rujukan.

Sinopsis tentang Novel Tingkatan Tiga 2011 -Cempaka Putih Untukmu

Tema dan Persoalan Novel Cempaka Putih Untukmu

Watak dan Perwatakan Novel Cempaka Putih Untukmu

Latar Novel Cempaka Putih Untukmu

Nilai dan Pengajaran Novel Cempaka Putih Untukmu


Buat Ayat Berdasarkan Kertas Ramalan Negeri 2011

Perlis

i.            Cari gali                 : Syarikat Petronas sedang melakukan cari gali di perairan Sarawak kerana dipercayai kawasan  itu kaya dengan sumber gas asli.

ii.            Jati diri                  : Generasi muda perlu memiliki akhlak mulia dan jati diri supaya menjadi modal insan yang berkelas pertama.

iii.            Ruang legar           : Para pelancong sedang berehat di ruang legar hotel lima bintang itu sementara menunggu giliran mereka untuk berdaftar tentang penginapan mereka.

iv.            Ulasan selari        : Juruulas itu sedang membuat ulasan selari ketika perlawanan bola sepak itu sedang berlangsung.

v.            Ulang tayang         : Walaupun filem itu adalah ulang tayang, banyak penonton masih minat terhadap filem itu.

vi.            Temu ramah         : Wartawan itu sedang membuat temu ramah dengan menteri itu tentang isu kenaikan harga barangan.

Sarawak Zon C

i.            Baik                        : Projek itu dilakukan dengan  baik dan tidak terdapat sebarang kecacatan.

ii.            Baik-baik              : “Jagalah diri kamu dengan baik-baik ketika berada di perantauan,” pesan emak kepada saya.

iii.            Jarang                     : “Tidak elok kamu memakai baju yang jarang ke majlis rasmi,” kata Mak Jah kepada anaknya.

iv.            Jarang-jarang        :  Sejak berpindah ke Bandar, dia jarang-jarang pulang ke kampung.

v.            Suka                       : Saya tidak suka makan durian kerana  benci akan baunya .

vi.            Suka-suka             :  Mereka melakukan kerja itu sekadar suka-suka sahaja dan tidak serius.

Sarawak Zon A

i.            Daya                       :  Kaum remaja memiliki daya ingin tahu yang kuat sehingga mereka ingin mencuba sesuatu yang baru.

ii.            Daya saing            :  Malaysia perlu meningkatkan daya saing supaya dapat bertanding dengan negara maju dalam pelbagai bidang.

iii.            Ulang                      : Kita perlu sentiasa membuat ulang kaji tentang pelajaran kita supaya dapat mencapai keputusan yang cemerlang.

iv.            Ulang tahun          : Mereka sedang membuat persediaan tentang perayaan ulang tahun sekolah yang ke-100 .

v.            Ambil                     : “Tolong ambil segelas air kepada datuk,” kata emak kepada saya.

vi.            Ambil berat          : Isu tersebut perlu kita ambil berat dan tidak patut bersikap sambil lewa sahaja.

Melaka

i.            Latar                       :  Para pelajar sedang menghias latar pentas itu untuk meraikan perayaan Hari Guru.

ii.            Latar belakang     : Sebelum menerima seseorang anggota keselamatan, pihak berkuasa perlu menyiasat latar belakang mereka terlebih dahulu demi keselamatan negara.

iii.            Pusat                      :  Putrajaya kini telah menjadi pusat pentadbiran negara kita kerana segala urusan persekutuan akan dijalankan di situ.

iv.            Pusat serenti        : Kebanyakan bekas penagih dadah yang keluar dari pusat serenti telah pulih semula setelah menjalani rawatan dan latihan fizikal di situ.

v.            Jangka                    :  Jangka masa yang diperuntukkan kepada setiap pelajar untuk menghabiskan projek sains  tersebut ialah dua minggu.

vi.            Jangka hayat         : jangka hayat bagi bateri itu hanya setahun sahaja dan tidak tahan lama.

Perak

i.            Lebih kurang        : Jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak itu lebih kurang 50 rubu orang.

ii.            Baik buruk            : Sebelum bertindak, kita perlu mengkaji baik buruk kesannya supaya tidak menyesal kelak.

iii.            Tinggi rendah       : Tinggi rendah gaji pekerja syarikat kami adalah bergantung pada kelulusan dan kerajinan mereka.

iv.            Susah senang        : Setiap insan akan mengharungi susah senang dalam kehidupan

v.            Tua muda              : Kami tidak mengambil kira tua muda peserta tetapi mereka perlu memiliki fizikal yang sihat.

vi.            Maju mundur       : Maju mundur sesebuah negara bergantung pada perpaduan negara itu.

MRSM

i.            Reda                       :Setelah ribut taufan reda, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan semua mangsa dalam feri itu.

ii.            Redah                     : Hutan yang tebal itu telah kami redah setelah mengambil masa 3 hari.

iii.            Paras                      : Setelah hujan yang turun secara mencurah-curah,  air sungai telah mencapai paras yang berbahaya.

iv.            Parau                      :  Penyanyi yang tua itu bersuara parau dan kedengaran nada yang sedih.

v.            Kerat                      : Dia telah menyediakan beberapa kerat daging untuk memasak gulai.

vi.            Kelat                       : Rasanya pisang itu kelat kerana masih belum masak lagi.

Pulau Pinang

i.            Menjahit                : Ibu telah menjahit sehelai baju kurung kepada kakak sempena hari jadinya.

ii.             Menyulam           : Gadis itu telah menyulam bunga-bungaan pada kain itu.

iii.             Menganyam         : Orang tua itu menganyam tikar mengkuang itu di halaman rumahnya.

iv.             Mengait                : Kakak sedang mengait buah rambut dengan sebatang galah.

v.             Memilin               :  Pekerja memilin tali itu daripada batang pisang yang telah dikeringkan.

vi.             menyirat              : Ketika musim tengkujuh, para nelayan sedang menyirat jala.

Kelantan

i.                 Nama                  : Nama negara kita akan masyhur setelah berjaya menganjurkan pelbagai pertandingan sukan antarabangsa.

ii.                 Bernama             :  Pensyarah yang bernama Dr. Aziz Ibrahim itu memang terkenal dalam bidang bioteknologi.

iii.                 Ternama             : yang ternama dan terpopular di Indonesia itu telah mengadakan konsep di Stadium Shah  Alam.

iv.                 Menamakan       : Baginda pun menanamkan Raja Besar kepada anakanda baginda  ./  Jawatankuasa parti politik itu  hendak menamakan Datuk Kassim sebagai calon kerusi parlimen Air Keruh.

v.                 Kenamaan          : Orang kenamaan dan dif-dif terhormat di kawasan itu telah diundangkan untuk meraikan majlis itu.

vi.                 Penamaan          : Penamaan calon pilihan raya kecil akan diadakan pada hari Isnin ini.

Selangor

i.                 soal siasat          : Pihak polis telah mengadakan soal siasat terhadap seorang ahli politik yang terlibat dalam kes  rasuah.

ii.                 soal jawab          : Sesi soal jawab akan diadakan setelah forum itu supaya para penonton dapat mengetahui isu itu secara mendalam.

iii.                 temu duga          : Banyak siswazah gagal mendapat pekerjaan kerana tidak dapat berinteraksi dengan bahasa Inggeris dalam temu duga itu.

iv.                 temu bual           : Kami telah mengadakan temu bual dengan seorang pakar motivasi tentang isu membunuh diri.

v.                 lemah lembut    : Kita perlu bersikap lemah lembut ketika bertutur dengan ibu bapa.

vi.                 lemah lesu         :  Setelah bermandi peluh di sawah, dia kelihatan lemah lesu dan sangat letih.

Wilayah Persekutuan

i.            peperiksaan          : Semua calon SPM  akan menduduki peperiksaan tersebut bermula dari 14 November ini.

ii.            Pemeriksaan        : Pegawai Jabatan Kesihatan sedang membuat pemeriksaan terhadap kantin sekolah kerana    beberapa orang pelajar telah keracunan makanan semalam.

iii.            persatuan              : Semua persatuan dan pertubuhan diminta berdaftar kepada pihak berkenaan sebelum akhir  tahun ini.

iv.            Penyatuan             : Proses penyatuan rakyat yang berbilang bangsa itu memerlukan asimilasi secara anjakan  paradigma selama ratusan tahun.

v.            penemuan             : Surat khabar telah menyiarkan penemuan vaksin yang baru untuk mengubati penyakit  berjangkit itu.

vi.            Pertemuan            : Dalam  pertemuan itu, mereka telah berkenalan sehingga jatuh cinta.

Johor

i.            Seniman                :  P. Ramli merupakan seorang seniman yang teragung di Malaysia kerana beliau bukan sahaja    sebagai penyanyi tetapi juga seorang pelakon yang tersohor.

ii.            Budiman               : Bapa Norliza seorang budiman kerana beliau sentiasa berbudi bahasa dan bersikap lemah   lembut terhadap semua orang.

iii.            Hartawan              :  Hartawan yang telah meninggal itu memiliki harta benda yang bernilai sebilion ringgit.

iv.            Karyawan              : Sebagai seorang karyawan, beliau banyak menghasilkan karya sastera dan lukisan yang  terunggul.

v.            Peragawati            : Peragawati yang jelitawan itu sedang memperagakan fesyen yang terbaru di pentas itu.

vi.            Olahragawati        :  Gadis yang kecil molek itu merupakan seorang olahragawati yang disegani kerana berjaya  memenangi banyak acara lumba lari di peringkat antarabangsa.

Negeri Sembilan

i.            Bela                        :  “Jangan bela ayam di kawasan perumahan kami kerana berbau busuk,”kata ketua

ii.            Bela                        : Pertahanan  negara perlu kita bela untuk mengekalkan kedaulatan negara.

iii.            Reda                       :  Ombak yang bergelora itu telah reda dan nelayan pun selamat pulang ke kampung.

iv.            Reda                       : Kemarahannya telah reda setelah melihat keinsafan mereka.

v.            Perang                    : Perang telah berlaku antara dua buah negara itu akibat perebutan sungai di sempadan itu.

vi.            Perang                    : Orang yang memakai baju yang berwarna perang itu ialah datuk Zain.

Terengganu

i.            Bekalan :               Kami telah membawa bekalan ke sekolah supaya menjimatkan perbelanjaan.

ii.            Pembekal              : Pembekal barangan keperluan di kawasan itu telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana telah     menyorot barangan itu untuk menaikkan harga.

iii.            Membekalkan      :Ibu yang  tua itu hanya  membekalkan nasihat dan pesanan kepada anaknya yang ingin berhijrah  ke kota.

iv.            Menaiki                 : Dia menaiki bas ke sekolah setiap hari.

v.            Kenaikan               : Kita perlu berjimat cermat untuk menghadapi kenaikan harga barangan keperluan.

vi.            Penaikan               :  Usaha penaikan taraf kehidupan di kawasan luar bandar sedang dilaksanakan untuk membasmi     kemiskinan di situ.

Sabah

i.            Rancang                   :  Segala pembangunan perlu kita rancang dengan teratur supaya benar-benar membawa kebaikan    kepada kita bersama.

ii.            Merancang            :  Pihak kerajaan telah merancang projek itu supaya industri penternakan dapat dijalankan di    dalam ladang kelapa sawit.

iii.            Terancang             : Pembangunan yang terancang dapat menjamin perkembangan negara yang  mesra alam sekitar.

iv.            Rancangan            : Rancangan penternakan ikan tawar akan dijalankan di kawasan bekas lombong itu.

v.            Perancangan         :  Perancanganpembangunan bandar itu perlu mengambil kira semua aspek sosial kita.

Kedah

i.            Bergerigi               : Gadis itu menggunakan gunting yang bergerigi itu untuk menggunting kertas itu supaya kertas     itu kelihatan cantik.

ii.            Bergeletar             : Mangsa rogol itu asyik bergeletar ketika berada di balai polis.

iii.            bergerodak           : Peti itu bergerodak setelah digoyang kerana terdapat batu di dalamnya.

iv.            Bergemerlap         : Permata itu bergemerlap dan berkilat-kilat ketika dipamerkan di dalam kotak kaca itu.

v.            Bersemerbak        : Bunga-bunga di taman itu bersemerbak dan berbau harum sekali.

vi.            Berkeruping         : Luka di tangannya telah berkeruping setelah diubati.

SBP

i.            gamat                     : Keadaan di kelas itu gamat dan riuh sekali setelah cikgu pergi ke pejabat.

ii.            Gamat                    :  Gamat ialah sejenis hidupan laut yang berkhasiat kepada kesihatan manusia.

iii.            diam                       : Dia hanya diam sahaja ketika dimarahi oleh cikgu.

iv.            Diam                      : Mereka diam di tebing sungai itu sejak berpindah dari bandar.

v.            bidang                    :  Setiap orang perlu mempunyai kemahiran dalam bidang yang diceburi.

vi.            bidang                    : Bapa Chong memiliki beberapa bidang tanah di kampung kami.

YIK

i.            salah faham          :  Untuk mengelakkan salah faham antara kaum, kita perlu sentiasa ziarah-menziarahi dan faham- memahami.

ii.            salah guna             :  “Jangan salah guna kebebasan yang diberikan sehingga terlibat dalam kes juvenil,”kata emak  kepada saya.

iii.            sara hidup             :  ”Sayamenanam sayur-sayuran sebagai  sara hidup sahaja tanpa sumber nafkah lain,” kata orang  tua itu.

iv.            senarai hitam       :  Pemaju yang tidak bertanggungjawab telah dimasukkan dalam senarai hitam oleh pihak   kerajaan dan mereka tidak layak mendapat sebarang kontrak kerajaan.

v.            serba salah           :  Mereka berasa serba salah setelah permohonan pinjam itu ditolak oleh pihak bank.

vi.            soal siasat             :  Pihak polis akan melakukan soal siasat terhadap pemuda yang menyebar khabar angin dalam   internat itu.


Soalan:  Rakyat Malaysia telah didapati mengambil gula secara berlebihan. Hal ini telah membawa pelbagai risiko terhadap kesihatan rakyat Malaysia. Lantaran itu, Kempen Satu Sudut Sudah Cukup telah dilancar agar rakyat kurang mengambil gula. Huraikan kemudaratan mengambil gula secara berlebihan  dan cadangkan langkah-langkah untuk menangani masalah tersebut.

Berpaksikan laporan daripada Kementerian Kesihatan, setiap rakyat Malaysia telah mengambil gula sebanyak 47 kg pada tahun 2010.  Secara analogi, rakyat Malaysia mengambil gula terlampau banyak jika berbanding dengan negara jiran dan negara maju. Sebagai contoh, rakyat Jepun hanya mengambil gula sebanyak 18 kg  setahun sahaja.  Ketika harga gula dinaikkan daripada RM1.60 tahun 2009  hingga RM 2.40  pada Mei 2011, rakyat Malaysia terkilan dan merungut atas kenaikan harga gula sehingga berasa runsing.  Padahal, masyarakat kita perlu  menyedari kesan negatif tentang pengambilan gula secara berlebihan.

Sesungguhnya, gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang sangat manis. Sebaliknya gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  Setakat ini, belum ada lagi ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak,  iaitu  ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes.  Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan.

Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan,  pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan  kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”.  Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.

Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil  makanan dan minuman yang manis.  Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar.  Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.

Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan  segera sebelum nasi menjadi bubur.  Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan,  dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan  makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu,  kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.

Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus  berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.  Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan  sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.

Secara intihanya,  kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.                                                                                                       (794 patah perkataan)


Perosolan:  Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda  bencana alam. Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tak berbunyi, malang tidak berbau.Tamsilnya, tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 telah menggemparkan seluruh dunia.  Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia sering terlepas daripada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya.  Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan , kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan yang terus melanda ruang legar fikiran kita, apakah bantuan yang dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam malapetaka?

Tidak dapat dipertikaikan lagi, sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk membantu mangsa bencana. Khalayak ramai boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma.  Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan derma kerana mangsa bencana yang  amat memerlukan dan mendambakan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam  fana ini.  Mangsa bencana alam memerlukan wang kerana segala harta mereka telah dimusnahkan. Makanan, susu dan pakaian juga perlu diderma untuk membantu mangsa bencana yang hidup sehelai sepinggang dan tengah kelaparan.  Untuk mencapai hasrat murni ini, pelbagai peringkat kutipan derma sering dijalankan oleh badan NGO, terutamanya Persatuan Bulan Sabit Merah  dan pihak berkenaan supaya dapat meringankan beban mangsa seperti peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semua umat tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kananya pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia kala.

Tambahan pula, kita perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenga dan kepakaran  kepada negara yang menghadapi bencana untuk menyelamatkan mangsa. Negara kita boleh menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang profesional untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Ketika tertimbus dalam gempa bumi, setliap mangsa hanya mempunyai “72 jam” untuk diselamatkan sebelum menemui maut.  Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan efektif.  Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART di negara kita telah mempunyai segala kelengkapan yang canggih  dan kemahiran yang cekap untuk memberikan bantuan pada bla-bila dan di mana-mana sahaja. Sumbangan tenaga penyelamatan  boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni dengan menyedari pepatah, hari tidak selamanya panas.

Bukan itu sahaja, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan harus disumbangkan kepada negara yang dilanda musibah. Negara kita perlu memberikan bantuan ubat-ubatan, terutama ubat pelali, vaksin dan sebagai. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan, doktor dan jururawat harus dihantar ke  negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan . Tidak dapat dinafikan bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana pelbagai penyakit berjangkit akan merebak selepas bencana alam. Hal ini demikian kerana mayat yang bergelimpangan tidak dikebumikan  dengan baik. Bekalan air bersih turut tercemar.  Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti mereka turut terjejas.  Penyakit taun, kepialu dan batuk kering akan menular di tapak bencana alam.  Oleh itu, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan  telah musnah atau sarat dengan pesakit.

Selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak  kurang pentingnya kepada mangsa bencana  alam.  Pakar psikologi dan ahli kaunseling negara kita juga perlu dihantar ke negara yang dilanda bencana alam.  Lazimnya mangsa bencana alam akan menjadi trauma, iaitu sentisasa cemas, takut, kesiangan dan fikiran sentisa bercelaru.  Mereka hidup dalam penderitaan dan kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan kepada mangsa bencana alam. Sokongan moral daripada negara kita amat penting untuk merawati hati mereka yang telah remuk-redam.  Pemimpin dan artis yang terkemuka boleh menziarahi mangsa untuk memberikan semangat kepada mereka supaya mereka memperoleh   nur harapan   selepas menempuhi dugaan Tuhan. Lantas,  mangsa dapat menghadapi masa depan yang lebih berprestij dan penuh keyakinan.

Setelah ditimpa malapetaka, segala infrastrutur di negara kita akan binasa, bagai padang jarak, padang terkukur.  Walhasilnya, sekolah, hospital , klinik, jalan raya, rumah dan sebagai telah musnah. Lebih-lebih lagi, ekonomi  negara berkenaan telah lumpuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan negara kita patut menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama dengan ahli korporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi yang telah lumpuh di kawasan bencana itu.  Saranan tentang pelan induk pembinaan dan pembangunan sosioekonomi boleh dicadangkan agar ekonomi dan masyarakat terbabit  dapat pulih dengan secepat mungkin.  Sebagai contoh, negara kita telah berjaya mendirikan lebih daripada 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh , Sumatera Indonesia selepas dilanda tsunami pada tahun 2004.  Oleh itu , bantuan membina prasranan dan infrastrutur yang rosak patut dihulurkan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.

Secara tuntasnya,  sebagai makhluk ciptaan Tuhan ,  semua umat bagai saudara  yang tidah harus dibezakan  atas batasan geografi  untuk bantu-membantu. Kita tidak harus bersikap ego, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.  Kata orang tua-tua, di sebalik malapetaka ada hikmatnhya,  iaitu seluruh dunia memperlihatkan  perikemanusiaan  dengan menghulurkan bantuan kepada negara yang ditimpa musibah. Amat wajarnya kita membudayakan sikap tolong-menolong  sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negeri lantaran buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Seluruh dunia akan bermuafakat sehingga melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.

(Karangan ini berdasarkan rangka karangan  daripada Cikgu Anelyza dan telah diubahsuaikan )