Langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga barang keperluan

Posted: August 16, 2010 in Uncategorized

Langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga barang keperluan


Dasawarsa ini,   kenaikan harga barang keperluan atau gejala inflasi sering menghantui kehidupan rakyat jelata, terutamanya golongan yang miskin bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Isu barangan keperluan mengalami kenaikan harga sentiasa dipaparkan pada dada akhbar dan menjadi  pokok perbincangan  di  warung kopi hingga sidang parlimen. Inflasi telah menjadi rakyat kita hidup melarat.  Bagaimanakah rakyat kita dapat melepaskan diri daripada kemelut sosioekonomi   ini?  Seperti pepatah, “Di mana tembilang terhentak, di situ cendawan tumbuh” ,  kita perlu mencari akal untuk menangani kemusykilan ini.  Sehubungan dengan itu,  semua pihak  perlu seia sekata  mencari akal untuk menangani masalah kenaikan harga barang keperluan.

Pendekatan yang dominan untuk membendung masalah kenaikan harga barang keperluan ialah “Kempen Berhemat”.  Kata orang tua-tua, “Ingat  sebelum kena, jimat sebelum habis” dan “cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit“.   Amalan berjimat cermat merupakan tabiat yang terpuji.  Amalan membesarkan kerak nasi patut dielakkan kerana berbelanja banyak tanpa sekatan hanya merugikan diri sendiri.  Pengguna harus diterapkan ilmu kepenggunaan supaya sentiasa membeli barang berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Rakyat kita digesa supaya bersahaja dan sederhana tanpa boros terutamanya pada musim perayaan. Sebagai contoh,  telur, daging ayam, tepung menghadapi kekurangan di pasaran gara-gara pengguna membeli secara berlebihan sehingga membazir  dan tidak dapat dihabiskan.  Jika setiap rakyat dapat berhemat  dengan tabiat cicir dipungut, hilang dicari dalam setiap pembelian dan tidak membeli secara berlebihan,  nescaya inflasi  dapat diminimumkan kerana bekalan tidak mengalami kekurangan berbanding dengan permintaan di pasaran.

Dalam konteks ini,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna harus menganjurkan “Kempen Beli Barangan Malaysia”.  Langkah ini amat mustahak untuk memulihkan masalah inflasi. Rakyat Malaysia digalakkan supaya membeli bahan keperluan asas yang sedia ada di negara kita daripada membeli barangan import. Walhal,  harga barangan tempatan lebih berpatutan kerana  kos pengangkutan lebih murah.   Contoh,  rakyat kita seyogianya  makan buah-buahan dan sayur-mayur tempatan yang lebih segar dan berkhasiat  daripada barangan import.  Seperti peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Jika semua rakyat dapat bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan bersemangat patriotik,  kempen tersebut berupaya meningkatkan peniagaan dalam negara.  Senarionya,  petani, peniaga dan  pengusaha industri kecil dan sederhana kita turut memperoleh  manfaatnya.  Hal ini dapat memantapkan defisit pendapatan negara supaya nilai mata wang Malaysia tidak jatuh berbanding dengan mata wang asing.  Inflasi turut diredakan.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan tindakan yang ampuh untuk membendung inflasi.  Demi mencegah penyelewengan peniaga yang tamak haloba, pegawai yang terlibat tidak patut bertindak sambil lewa atau bena tak bena sahaja. Misalnya pemantauan atau serbuan hanya dijalankan secara bermusim sahaja.  Lebih-lebih lagi kegiatan rasuah meruwatkan situasi ini.  Tanpa tindakan undang-undang yang ketat, peniaga akan bertindak bermaharajalela dengan meningkatkan  harga barangan jualan tanpa belas kasihan.  Rentetan daripada itu,  kompaun dan hukuman penjara mandatori   harus dijatuhkan dengan semaksimumnya terhadap peniaga yang  licik.  Pemantauan yang lebih kerap harus diadakan terhadap semua premis perniagaan dan pasar malam. Masyarakat kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti “Rakan Cop” untuk melaporkan berlakunya penyelewengan peniaga .   Hukuman yang ketat dan tindakan pegawai yang bersih, cekap dan amanah pasti dapat mengekang peniaga yang ingin menangguk di air keruh.

Orang ramai juga diseru supaya menanam sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.  Sebenarnya,  cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an  dengan  rancangan Buku Hijau.  Ketika dilanda inflasi, khalayak ramai diseru supaya menjalankan penanaman di halaman rumah.  Contohnya, hidroponik diperkenalkan kepada masyarakat bandar untuk menanam sayur-sayuran di halaman rumah.  Orang ramai tidak patut memandang enteng terhadap hal ini kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Kita boleh menanam sayur-sayuran sebagai hobi untuk mengisi masa senggang. Selain menjamin kesihatan fizikal dan mental, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk membeli sayur-mayur organik tanpa racun serangga.  Tindakan ini bagai serampang dua mata. Alangkah baiknya, kita dapat memperoleh cili, tomato, bawang hijau, serai, ulam-ulaman yang segar-bugar  dari pasu bunga di halaman rumah kita. Dengan kata lain, penanaman sayur-sayuran di rumah turut menyumbang ke arah inflasi sifar.

Bagaimanapun,  kerajaan kita memerlukan perancangan yang bersepadu untuk menangani inflasi di negara kita.  Sebagai cerucuk kepimpinan negara, anggota kabinet harus menentukan segala polisi kerajaan dilaksanakan dengan berkesan tanpa menimbulkan inflasi. Pemimpin dan para pegawai awam yang terlibat harus memantapkan defisit pendapatan negara, meningkatkan produktiviti  masyarakat kita,  menjamin kestabilan mata wang Malaysia, menaikkan kadar faedah simpanan, mengawal kenaikan gaji secara rasional serta memastikan pengagihan barangan keperluan di dalam negara. Hal ini dapat mengelakkan pengaliran mata wang yang terlalu banyak di dalam pasaran tempatan sehingga berlakunya inflasi.  Sebarang tindakan kerajaan akan memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat jelata. Kita tidak tergamak melihat golongan miskin dibebankan lagi dengan inflasi kerana berapa berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul. Kerajaan harus sentiasa bertindak bijaksana seperti peribahasa, “menarik rambut di dalam tepung”.  Sebelum memansuhkan subsidi terhadap bahan keperluan asas,  kerajaan patut membuat kaji selidik dan analisis tentang kesannya terhadap indeks inflasi di negara kita.

Tuntasnya,  pihak kerajaan dan Persatuan Pengguna harus berkomitmen untuk menangani masalah  inflasi  di negara kita. Semua pihak tidak patut bersikap melepaskan batuk di tangga. Bayangkan masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan terpaksa menghadapi inflasi.  Jangan biarkan cogan kata,  “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”  sebagai slogan sahaja. Lantarannya,  kita perlu berganding bahu dan bersinergi untuk menoktahi inflasi  di negara kita.

Comments
  1. mohd says:

    eerrrrrr…cikgu,knpa x POST karangan mengenai PERANAN ANDA MENGATASI MASALAH KENAIKAN HARGA BARANG???

  2. hanni says:

    maklumat blog ckgu sgt membantu saya. terima kasih!

  3. azwin hassan says:

    cikgu..boleh tak saya dapatkan info@maklumat berkenaan kenaikan harga susu tin yang melibatkan susu Teaport,Junjung, F&N dan Ideal..susu ini yang lebih dipilih dari pihak pengguna berbanding susu tin yang lain,berikutan harganya yang agak sejajar dalam pasaran.

  4. izzaheerah hazeeqah says:

    alhamdulillah .. terima kasih .. karangan di atas memang memudahkan saya untuk membuat karangan … :DD

  5. Ang3l says:

    cigu mestinya guru bm.. banyaknya peribahasa yang digunakan.. sangat elktif lo the peribahasa :)

  6. iuning says:

    terima kasih cikgu =)

  7. intan cun sokmo says:

    tq cikgu…karangan ni dapat membntu sye menyiapkan modul karangan bahasa melayu sye untuk spm…

  8. intan akmar intan says:

    tq cikgu…

  9. bleh tak ckgu bgi rangka karangan????tq ea….ia membantu saya dalam pengajian am

  10. cikgu…bahasa yang cikgu gunakan mmg bernas…dan saya cuba untuk mencontohi cara penulisan cikgu

  11. cikgu kalau bleyh saya nak belajar cara penulisan mcm ckgu

  12. gay boy sabah says:

    terima kasih banyak-banyak…. akhirnya karangan saya siap…. hehehehh

  13. mira says:

    thanks cikgu !

  14. najiha Jeyha says:

    krngan yg ckup lngkp..
    terima ksih ckgu,,,

  15. pwincez says:

    cikgu,knpa x POST karangan mengenai PERANAN ANDA MENGATASI MASALAH KENAIKAN HARGA BARANG???

  16. btl ker krgn niy krg soalan spot spm 2011 erk

  17. eyrien says:

    cg! .. terima .. karangan yg cg post , sangat membantu!

  18. chickpea ily says:

    btol ker soalan sport bub bnyak yg ade dalam nie sebijik kot ! minx la noh masok ! AMIN…

  19. ksr_19 says:

    thanks sir for the essay…it helped in my grammar

  20. anoynomous says:

    karangan yang hebat dan cantik. amat membantu

  21. Nurul Al-hidayah Zainudin says:

    tajuk ni merupakan salah satu SPOT dalam spm 2011…bagus karangan yg dhasilkan oleh cikgu..bahasa yang cikgu guna memang sangat matang.memang sangat bagus.

  22. Nur Qurratul Ain says:

    walah !!! paling hot !!!

  23. Scha Mohd says:

    Lebih dari cukup. Terima kasih cikgu.

  24. AXEm says:

    ahh, lagi 9 jam nk mule SPM !!

  25. Ikrammon says:

    terima kasih cikgu. tapi peribahasa pertama tu apa maksud teratah? saya search Google peribahasanya berbunyi, “di mana tembilang terentak di situ cendawan tumbuh.”

  26. hairi says:

    terbaek hri nie nk spm…

  27. tzi says:

    terima kasih cikgu…karangan cikgu memang bes…he he

  28. Miera says:

    bagus juga cadangan nie…

  29. anis nasirah says:

    yeay syer leh ambil sdikit info kt krngan diatas :)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s